Pendidikan bukan membimbangkan rakyat Malaysia

Amirul Awaludin
Disember 5, 2017 18:48 MYT
Kiranjit Singh berkata sistem pendidikan di Malaysia adalah di tahap yang baik dan tiada keperluan untuk kebimbangan wujud sama sekali.
Pendidikan di Malaysia didokong oleh satu sistem yang baik dan boleh diguna pakai serta tidak perlu menjadi punca kebimbangan dalam kalangan warga Malaysia.
Agensi Penyelidikan Pasaran Global, IPSOS dalam satu kaji selidik yang dikeluarkan hari ini mencatat tangga terendah dalam senarai 'What Worries Malaysia' atau 'Apa yang Merisaukan Malaysia'?
Menurut Ketua Perunding Perniagaan, Kiranjit Singh sistem pendidikan di Malaysia adalah di tahap yang baik dan tiada keperluan untuk kebimbangan wujud sama sekali.
"Pendidikan bukan satu isu yang perlu diberi perhatian rakyat negara ini kerana kita mempunyai sistem pendidikan yang baik," katanya ketika ditemui di sidang media 'Kaji Selidik IPSOS' di ibu negara di sini hari ini.
Ironinya, Malaysia merekodkan tahap kebimbangan tertinggi tentang kebanjiran pekerja asing di negara ini, menurut kaji selidik IPSOS tersebut.
Kaji selidik itu mendedahkan majoriti orang Melayu di kawasan luar bandar yang berpendapatan kurang dari RM3,000 kerap melontarkan pandangan mengenai isu tersebut.
Menurut kaji selidik itu juga, terdapat kira-kira 1.9 juta pekerja asing berdaftar di negara ini. Angka itu tidak mengambil kira pekerja asing tanpa dokumen yang sah.
Singh berkata, isu kawalan imigrasi terutamanya pekerja asing sangat berhubung kait dengan peluang pekerjaan.
"Pekerja asing dengan tahap kemahiran yang lebih rendah menjadi kebimbangan terbesar. Orang Melayu di luar bandar menganggap mereka sebagai saingan kerana mengambil alih peluang pekerjaan mereka," tambahnya lagi.
Faktor tadbir urus (pengendalian kerajaan dan korporat) menduduki tangga kedua dalam ranking "Apa yang Merisaukan Malaysia?".
Pengganguran dalam kalangan wanita dan pelajar mendominasi tangga ketiga. (Rujuk artikel: Keluhan Gen-Z: Hutang pengajian tinggi, peluang pekerjaan tak banyak)
'Jenayah dan Keganasan' berada di tangga keempat, diikuti dengan inflasi dan kos sara hidup.
Kebimbangan Malaysia terhadap penyalahgunaan dadah berada di tahap keenam dan kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial adaah di tangga yang seterusnya.
Di empat tangga terbawah termasuk kebimbangan terhadap kemiskinan dan ketidakseimbangan sosial, keganasan terorisme, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Kaji selidik ini dijalankan seiring dengan kaji selidik global di 26 negara. Sejumlah 2,027 warga Malaysia berusia 15 hingga 64 tahun menjadi responden kaji selidik ini melalui wawancara telefon.
#Dadah #Ipsos #jenayah #kawalan imigrasi #keganasan #kesihatan #Ketua Perunding Perniagaan IPSOS #Kiranjit Singh #Malaysia #pekerja asing #pelajar #pendapatan isi rumah #pendidikan #rakyat #rakyat Malaysia #rumah
;