Pendidikan alam semula jadi harapan pemulihan hidupan liar Malaysia
Ts Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar
Mac 3, 2022 10:59 MYT
Mac 3, 2022 10:59 MYT
PERHIMPUNAN Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu ke-68 pada 20 Disember 2013 telah bersetuju untuk mengiktiraf tarikh 3 Mac pada setiap tahun sebagai Hari Hidupan Liar Dunia.
Tarikh ini telah dipilih bersempena dengan tarikh Konvensyen Perdagangan Antarabangsa Spesies Terancam Flora dan Fauna Liar (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora, CITES) yang ditandatangani di Amerika Syarikat pada tahun 1973.
Hari Hidupan Liar Dunia ini diwujudkan adalah untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap hidupan liar termasuk flora dan fauna.
Tema sambutan bagi tahun ini amat dekat dan relevan dengan situasi semasa di Malaysia, iaitu ’Memulihara Spesies Utama Untuk Pemulihan Ekosistem’ (Recovering Key Species for Ecosystem Restoration).
Spesies hidupan liar di Malaysia, terutamanya spesies utama menunjukkan penguncupan populasi dan taburan yang luar biasa.
Menyebut tentang hidupan liar, pasti kita terdetik satu spesies ikonik negara iaitu Harimau Malaya, Panthera tigris jacksoni.
YB Dr Xavier Jayakumar, mantan Menteri Air Tanah dan Sumber Asli pada tahun 2019 melaporkan populasi Harimau Malaya hanya berbaki 200 ekor sahaja dan bakal pupus dalam tempoh 10 tahun jika tiada tindakan intervensi dilakukan.
Pada Januari 2022 pula, Perdana Menteri YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melaporkan populasi Harimau Malaya hanya sebanyak 150 ekor sahaja.
Walaupun ini hanyalah anggaran, jumlah populasi sebenar Harimau Malaya mungkin lebih rendah dari 100 ekor sahaja di habitat asal.
Populasi Harimau Malaya dianggarkan sebanyak 3,000 ekor pada tahun 1950, dan turun dengan mendadak dalam tempoh hanya 70 tahun.
Di mana silapnya? Di persimpangan mana yang kita tersilap membuat keputusan?
Bagaimana dengan spesies flora dan fauna yang lain yang tidak dikenali ramai tetapi turut diancam kepupusan?
Senarai merah spesies terancam (Red List of Threatened Species) iaitu satu senarai yang dikeluarkan oleh badan antarabangsa International Union for Conservation of Nature (IUCN) menunjukkan bahawa lebih 8,400 spesies flora dan fauna dikategorikan sebagai sangat terancam (critically endangered) dengan kepupusan, lebih dari 30,000 spesies yang terancam (endangered) dan lebih sejuta spesies yang bakal terancam.
Beban dan tanggungjawab pemuliharaan bagi spesies flora dan fauna tidak boleh hanya diletakkan di atas bahu agensi seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Hutan Sarawak, Taman-Taman Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah dan lain-lain agensi semata-mata.
Benar, mereka diberikan tanggungjawab dan kuasa untuk mengurus flora dan fauna di Malaysia, tetapi adakah mereka sahaja yang perlu memikirkan masa hadapan flora dan fauna kita?
Jawapannya tidak. Flora dan fauna merupakan khazanah warisan dan menjadi tanggungjawab bersama seluruh rakyat Malaysia untuk menjaganya.
Kesedaran isu alam semulajadi di kalangan rakyat Malaysia khususnya berkaitan flora dan fauna masih perlu diperhebat dan ditingkatkan dalam mengarusperdanakan usaha-usaha pemuliharaan di Malaysia.
Contohnya, di dalam kekalutan agensi dan saintis berusaha menyelamatkan flora dan fauna dari kepupusan, masih terdapat saudagar haram yang tanpa segan silu memperdagangkan hidupan liar seperti ungka, lotong, orkid, serangga, ikan dan lain-lain di media sosial demi keuntungan.
Tidak kurang juga yang masih lagi menyombong diri di media sosial menunjukkan haiwan peliharaan eksotik dan flora unik yang dimiliki secara haram kononnya untuk meraih perhatian.
Jika nilai murni terhadap flora dan fauna serta isu alam semulajadi diterapkan dari awal dan mendalam di kalangan masyarakat, kebarangkalian perkara ini berlaku pasti akan berkurangan.
Sudah tentu mereka akan berasa malu untuk membuat muatnaik di media sosial menunjukkan aktiviti-aktiviti tidak bertanggungjawab ini.
Rang Undang-Undang Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2021 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat, Parlimen Ke-14 pada 26 Oktober 2021 juga merupakan satu perkembangan positif bagi usaha pemuliharaan hidupan liar di Malaysia.
Pindaan kepada Akta 716 yang mula dikuatkuasakan pada tahun 2010, bagi menggantikan Akta Hidupan Liar 1972 (Akta 76) ini telah lama dinantikan, khususnya melibatkan penguatkuasaan bagi menaikkan lagi had hukuman yang lebih berat bagi kesalahan di bawah Akta ini.
Pindaan Akta 716 ini memberikan perlindungan yang lebih komprehensif dan inklusif sesuai dengan evolusi ancaman terhadap hidupan liar yang kian rencam.
Secara umumnya, pindaan ini melibatkan peningkatan jumlah denda maksimum yang lebih tinggi sehingga satu juta ringgit dan had hukuman penjara sehingga tidak melebihi 15 tahun bagi kesalahan tertentu di bawah Akta 716, selain menambah beberapa peruntukan baru bagi aktiviti melibatkan hidupan liar.
Hukuman dan undang-undang sahaja tidak akan mampu menyelesaikan isu pemuliharaan flora dan fauna di Malaysia.
Kesedaran mengenai alam semulajadi seharusnya menjadi teras di dalam diri setiap ahli Keluarga Malaysia.
Pendidikan nilai murni dan kesedaran alam semulajadi boleh diterapkan dengan lebih mendalam di dalam silibus akademik, pemerkasaan aktiviti kokurikulum ataupun penglibatan dalam aktiviti kesukarelawanan di kalangan pelajar sekolah dan universiti.
Galakan dan insentif harus diberi untuk mereka terus cakna, mempromosi dan menyumbang dalam usaha pemuliharaan alam semulajadi.
Generasi inilah yang bakal menjadi saintis dan teknologis yang mampu memperhebat usaha pemuliharaan, bakal ahli taksonomi, ahli ekologi, pakar kelakuan haiwan, pakar penyakit berjangkit hidupan liar dan lain-lain yang amat diperlukan negara.
Generasi inilah juga yang bakal menjadi pentadbir, pembuat dasar, teknokrat, perancang bandar, jurutera, usahawan, ahli politik dan lain-lain pada masa hadapan.
Mereka bakal menentukan nasib flora dan fauna Malaysia dengan kebijakan membuat keputusan dan dasar yang berkaitan alam semulajadi.
Jika pendidikan dan kesedaran kepentingan alam semulajadi tidak diterapkan dengan baik di kalangan setiap rakyat Malaysia, usah kita meraung kekecewaan di media sosial apabila keputusan yang dibuat, merugikan alam semulajadi, menyebabkan pencemaran, kemusnahan habitat dan akhirnya menyebabkan kepupusan flora dan fauna negara.
*Ts Dr Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar ialah Penyelidik Utama Kumpulan Integrasi Oasis (OIG), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)
**Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI