Pendidikan alaf baru: Kandungan perlu kreatif, inovatif dan dinamik

Harits Asyraf Hasnan
Jun 11, 2021 16:04 MYT
Ahmad Ramzi berkata, kandungan pendidikan perlu profesional selain perlu ada ruang interaktif yang membolehkan pelajar bertanya kepada pengajar. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Sistem pendidikan negara perlu lebih kreatif, inovatif serta dinamik tatkala berdepan pandemik COVID-19 yang masih belum ada penghujungnya.
Pada masa sama, pengajaran dan pembelajaran secara maya dilihat sebagai masa hadapan bagi sistem pendidikan negara.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif, Planetmahir Sdn Bhd, Datuk Ahmad Ramzi Mohamad Zubir berkata, kandungan pendidikan juga perlu berciri profesional selain perlu ada ruang interaktif yang membolehkan pelajar bertanya kepada pengajar.
"Apabila para pelajar (belajar) tidak bersemuka, mereka akan ada banyak gangguan terutama apabila belajar menggunakan telefon pintar. Nanti akan ada panggilan, pesanan ringkas, notifikasi dan pelbagai lagi masuk ke telefon mereka.
"Oleh sebab itu, video yang dihasilkan perlu profesional, disunting secara profesional, perlu ada infografik dan unsur interaktif. Video dihasilkan itu tidak boleh panjang, sekitar lima atau enam minit untuk satu video.
"Selain itu, perlu ada interaksi dimana pengguna boleh berinteraksi dengan pengajar atau panel melalui perbualan langsung (live chat)," katanya kepada Astro AWANI.
Sebagai aktivis pendidikan digital, Ahmad Ramzi berpandangan tiga isu utama iaitu peranti, jalur lebar dan kandungan pendidikan perlu ditangani segera.
"Jika kita ada infrastuktur sahaja, tetapi kandungannya tidak ada... Misalannya kita beri komputer riba kepada rakyat secara percuma, tetapi kandungan pembelajaran tidak ada, komputer riba itu semua akan jadi 'gajah putih'.
"Pelajar-pelajar ini kadang-kala akan gunakan peranti untuk bermain permainan atau melayari kandungan tidak berfaedah. Jadi kandungan itu kena disediakan juga," ujarnya.
Justeru, beliau mencadangkan supaya penambahbaikan yang dilakukan perlu bergerak seiring supaya satu ekosistem pendidikan yang holistik dapat dibangunkan sekali gus melahirkan modal insan yang cemerlang.
#pengajaran dan pembelajaran #pendidikan #infografik #pandemik #COVID-19 #Planetmahir #Mahir Tutor #Ahmad Ramzi Mohamad Zubir #PdPR
;