Pendidikan agama terlalu tumpu hal ritual, aspek bermasyarakat disampingkan - Penganalisis

Israr Khalid
September 15, 2021 05:39 MYT
Malaysia bukan tiada kemampuan kewangan, namun tak semua sanggup berkongsi rezeki. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hari ini banyak sungguh program keagamaan tersaji di televisyen mahupun melalui ceramah dan tazkirah di media sosial.
Namun, tidak banyak yang dilihat penganalisis budaya ​​Prof Dr Tajuddin Mohd Rasdi pengisian mengandungi perihal pembentukan rohani yang menekankan tentang menjadi manusia bermasyarakat.
Kata pensyarah USCI University itu, pendidikan agama Islam khususnya hari ini terlalu menumpukan aspek ritual, walhal seharusnya rohani penonton perlu disantap dengan peringatan bahawa lebih penting menjadi manusia yang berbakti kepada sekitarnya.
“Kita tidak nampak mesej-mesej bahawa spiritualiti atau keimanan itu dikaitkan dengan bagaimana kita membantu orang-orang yang memerlukan dan juga bagaimana kita boleh melapangkan hidup kita untuk menjaga satu orang pun jadilah.
“Tetapi yang dijelaskan tentang keimanan adalah ritual, sembahyang, zikir dan sebagainya, walaupun itu ada khasiatnya tapi aspek sosial itu dijadikan sesuatu yang sampingan walhal itulah sifat yang penting,” katanya.
Jelasnya lagi, Malaysia bukan negara miskin malah rakyatnya juga ramai yang berkemampuan lebih daripada yang diperlukan.
Namun persoalannya mengapa ketika ini masih ada dalam kalangan masyarakat kita yang tidak cukup makan sehingga timbul pelbagai masalah lanjutan dek teruk dibadai pandemik COVID-19 ini?
“Saya ada baca satu laporan pertengahan tahun ketika sebelum pandemik tempoh hari, sekitar 400,000 permit umrah diluluskan.
“Ini adalah satu perbuatan yang baik. Jadi kalau kita lihat seorang berbelanja sekitar RM10,000 (untuk ke umrah), 400,000 orang itu satu nilai yang cukup tinggi.
“Orang yang pergi sekali (pertama kali), Alhamdulillah tapi yang pergi berkali-kali, kalau boleh difikirkan bahawa harta atau wang ringgit itu lebih baik dibahagikan kepada yang memerlukan, anak-anak yang tidak ada buku nak ke sekolah, tidak dapat makan dan sebagainya,” katanya.
Seperkara lagi, beliau turut menyentuh mengenai sejenis ‘perangai’ atau ‘penyakit’ yang hanya memberikan bantuan kepada mereka yang sebangsa atau seagama dengannya sahaja.
Berbakti atau beribadah itu sepatutnya tidak mengenal siapa, dan tegas Tajuddin, mereka yang lebih berupaya atau berkuasa sepatutnya lebih proaktif dalam mencari mereka yang sedang dalam kesusahan dan membantu mereka.
“Pergilah cari, daripada duduk menunggu orang lapor 'Saya tak ada duit, tuan' baru nak bertindak. Orang miskin ini jarang mahu beritahu yang dia itu miskin.
“Jadi saya rasa hal proaktif ini harus diperkuatkan selain daripada aspek keagamaan, aspek pentadbiran melalui keagamaan atau melalui institusi kebajikan,” katanya.
Tajuddin menjadi tetamu program Agenda AWANI dihoskan oleh Nazri Kahar pada Rabu. Tontonnya di sini:
Pendidikan agama perlu tekankan aspek kemanusiaan, bukan ritual semata-mata - Tajuddin
Agenda AWANI: Mengisi makna Keluarga Malaysia
#Agenda Awani #agama #Islam #program keagamaan #umrah #manusia #spiritual #keimanan #anak yatim #bantuan #Prof Dr Tajuddin Mohd Rasdi #Masyarakat #sumbangan #miskin
;