Pendidikan agama harus pentingkan kefahaman terhadap Islam

Bernama
Ogos 5, 2017 07:50 MYT
Chandra berkata oleh sebab masyarakat Muslim merupakan majoriti penduduk di negara ini, pastinya kefahaman dan pendekatan terhadap Islam yang lebih mengutamakan isi daripada kulit akan membawa tempias kepada penganut agama lain. - Gambar fail
Pendidikan agama Islam di negara ini harus dibuat penyemakan yang komprehensif bagi melahirkan pendidikan agama yang lebih menekankan pengisian "isi daripada kulit", kata Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia, Dr Chandra Muzaffar.
Beliau berkata badan yang paling layak untuk mengambil inisiatif itu adalah Persidangan Raja-Raja Melayu kerana raja-raja merupakan ketua agama Islam di negeri masing-masing.
"Penyemakan ini diharapkan bukan sahaja akan melahirkan pendidikan agama yang lebih bermakna malah akan mempertingkatkan kefahaman kita terhadap Islam," katanya dalam sesi dialog sempena Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara : Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di sini pada Sabtu.
Chandra dalam sesi berkenaan membawa tajuk Pendidikan Sebagai Penerus Kecemerlangan Negara.
Katanya oleh sebab masyarakat Muslim merupakan majoriti penduduk di negara ini, pastinya kefahaman dan pendekatan terhadap Islam yang lebih mengutamakan isi daripada kulit akan membawa tempias kepada penganut agama lain.
Selain itu, Chandra berkata kajian semula terhadap sistem pendidikan negara juga perlu dilakukan dengan menekankan nilai moral supaya masalah sosial di kalangan pelajar dapat dikurangkan.
Beliau berkata tidak salah sekiranya negara ini menjadikan sistem pendidikan di Finland dan Jepun sebagai contoh yang mampu membentuk nilai-nilai moral kepada pelajar walaupun negara terbabit tidak mengutamakan agama.
"Di Finland, mereka galak nilai kerjasama dan murni dalam kehidupan dan bukan menekankan peperiksaan. Hanya satu peperiksaan dijalankan ketika tamat belajar pada umur 16 tahun.
"Sistem pendidikan Finland dianggap yang paling baik di dunia kerana bebas dari gejala sosial dan kadar kecicirannya juga rendah iaitu hanya dua peratus.
"Di Jepun pula mereka lebih tekankan adab dan disiplin, sejak taska lagi mereka diajar mengenai nilai murni termasuk dari segi undang-undang, kesihatan, jenis makanan sihat dan kebersihan," katanya.
-- BERNAMA
#agama #chandra muzaffar #Finland #Islam #Jepun #kajian semula #pendidikan #pengisian #Persidangan Raja-Raja Melayu #sistem pendidikan negara
;