Pendidik perlu bimbing pelajar kemahiran pemikiran kritikal - Rosmah

Astro Awani
Mei 3, 2017 18:22 MYT
DATIN SERI ROSMAH: Golongan pendidik perlu membimbing pelajar dalam kemahiran pemikiran kritikal selain bidang komunikasi yang menjadi platform kecemerlangan. - Gambar fail
Golongan pendidik perlu membimbing pelajar dalam kemahiran pemikiran kritikal selain bidang komunikasi yang menjadi platform kecemerlangan di alam pendidikan.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, ia cabaran yang harus dipenuhi dalam memastikan pelajar dan golongan pendidik berada pada tahap terbaik dalam dunia yang semakin kompetitif.
"Pendidik hari ini berhadapan cabaran dalam menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah kemahiran berfikir aras tinggi dan pengurusan ruang pembelajaran yang lebih dinamik.
“Untuk mendepaninya, warga pendidik sekalian perlu bersiap siaga menghadapinya dan melengkapkan diri dengan ciri-ciri guru abad ke-21.
“Di samping itu para pendidik juga perlu sentiasa kreatif dan inovasi serta meneroka pendekatan pedagogi terkini bagi meningkatkan kualiti proses pengajaran dan pembelajaran,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Guru Bestari Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) 2017 di sini hari ini.
BACA: Taska Permata Puspanita perlu diperluas di peringkat daerah - Rosmah
BACA: Ambil tahu anak sudah pulang atau tidak pada lewat malam - Rosmah
Seramai 37 guru menerima Anugerah Guru Bestari 2017, tiga guru menerima Anugerah Khas Pembangunan Pendidikan, manakala empat orang guru diberikan Anugerah Khas PIBG Sekolah.
Hadiah disampaikan Datin Seri Rosmah dan Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Pada majlis sama, Datin Seri Rosmah dinobatkan penerima Anugerah Terunggul Yayasan Pendidikan Cheras (YPC).
Ia sebagai penghargaan terhadap usaha beliau di dalam memperjuangkan isu-isu berkaitan pendidikan dan potensi kanak-kanak di bawah usia empat tahun di negara ini.
Dalam pada itu kata Datin Seri Rosmah, pelajar perlu menguasai kemahiran berinovasi, kemahiran maklumat media dan teknologi dan kemahiran hidup dan kerjaya.
#pelajar #pendidikan #Rosmah Mansor #Syed Ali
;