Pendidik MARA dipastikan bertaraf antarabangsa
Nailah Huda
Jun 25, 2019 04:00 MYT
Jun 25, 2019 04:00 MYT
Sebagai usaha untuk memastikan tahap profesionalisme warga pendidik sentiasa berada di tahap yang terbaik, Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntukkan RM56 juta pada tahun ini untuk tujuan latihan dan pembangunan kompetensi tenaga kerja MARA, terutamanya warga pendidik.
Kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd Harun, inisiatif tersebut diusahakan supaya silibus di institusi pendidikan MARA sentiasa relevan dan setaraf dengan pendidikan di negara-negara maju.
“Ini penting supaya pelajar-pelajar di bawah MARA kelak tidak menghadapi apa-apa isu sekiranya mereka ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara,” kata Rina dalam ucapannya pada Majlis Sambutan Hari Pendidik MARA 2019 di ibu kota pada Selasa.
Antara inisiatif MARA termasuk menggalakkan warga pendidik ke menara gading.
“Pada ketika ini, lebih dari 400 orang warga pendidik MARA sedang mengikuti pengajian di peringkat PhD, sarjana, ijazah dan profesional serta kursus-kursus peningkatan kompetensi di dalam dan luar negara,” kata Rina lagi.
Secara keseluruhan, peruntukan pendidikan yang telah disalurkan kepada MARA adalah sebanyak RM2,237,119,200 untuk membangunkan pelbagai insiatif pendidikan bawah agensi tersebut.
Tambah beliau, “Dengan peruntukan yang telah ditetapkan oleh MARA ini, saya mahu melihat usaha ini bukan sekadar untuk meningkatkan kemahiran dan profesionalisme semata-mata.”
Namun, beliau berharap inisiatif ini melahirkan anak-anak murid yang berpendidikan tinggi bukan sahaja dari segi pelajaran tetapi juga dari segi sahsiah diri yang murni.
Sebahagian daripada usaha menghargai jasa pendidik, Datuk Azmi Mohamad yang dahulu menjadi Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan MARA dan berkhidmat sebagai guru selama 36 tahun menerima Anugerah Tokoh Pendidik MARA 2019 pada majlis itu.
Seramai 25 warga pendidik MARA lain menerima Anugerah Pendidik MARA 2019 pada majlis tersebut.
#Datuk Azmi Mohamad
#Datuk Seri Rina Mohd Harun
#MARA
#Menteri Pembangunan Luar Bandar
#Rina Mohd Harun