Penderma organ masih rendah, lebih 10,000 pesakit menunggu untuk teruskan kehidupan

Bernama
Februari 7, 2025 23:26 MYT
Dr Mohd Syafiq berkata Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah meletakkan hukum harus bagi urusan pendermaan dan pemindahan organ pada Jun 1970. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Lebih 10,000 pesakit menunggu dengan penuh harapan giliran untuk menerima sumbangan organ bagi memberi peluang mereka meneruskan kehidupan.
Menurut statistik Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN) hingga November tahun lepas, pesakit yang menunggu transplan buah pinggang merupakan yang paling tinggi iaitu 10,266 orang, diikuti transplan jantung (sembilan), pemindahan hati (sembilan), jantung dan paru-paru (enam) serta seorang bagi transplan paru-paru.
Pengarah PSTN Dr Mohd Syafiq Ismail Azman berkata hingga kini hanya 960 penderma sebenar yang telah menyelamatkan nyawa dengan mendermakan organ mereka selepas kematian selain sebanyak 3,024 organ serta tisu didermakan sejak 1976.
"Angka tersebut membuktikan bahawa tindakan seorang individu mampu mengubah banyak kehidupan orang lain namun ia (angka itu) masih rendah dan banyak yang perlu dilakukan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai untuk mendaftar diri sebagai pengikrar penderma organ.
"Situasi penderma organ di negara ini sebenarnya masih rendah jika dibandingkan dengan negara lain tetapi kini sudah ada sedikit peningkatan iaitu 1.35 pendermaan organ bagi sejuta populasi di Malaysia," katanya dalam satu temu bual menerusi program "Jendela Fikir: Tahap Penerimaan Derma Organ di Malaysia" terbitan Bernama Radio, di sini.
Beliau berkata berdasarkan rekod sebanyak 82 penderma organ sebenar telah menderma organ mereka selepas kematian pada tahun lepas.
Dr Mohd Syafiq berkata antara punca kesedaran itu rendah adalah kurang-nya pendedahan terhadap kepentingan prosedur berkaitan dalam media sosial serta media arus perdana sekali gus menyifatkan situasi itu sangat membimbangkan dan memberi kesan buruk kepada pesakit yang benar-benar memerlukan.
Mengulas lanjut, selaku institusi yang berperanan dalam mengurus dan menyelaras aktiviti berkaitan pendermaan organ, beliau berkata tahun lepas 15,304 pengikrar penderma organ baharu direkodkan menjadikan keseluruhan 398,000 pengikrar sejak 1997.
Beliau bagaimanapun memaklumkan tidak semua pengikrar akan layak menjadi penderma organ kerana terdapat beberapa syarat perlu dipatuhi sebelum prosedur pendermaan organ dilaksanakan.
"Antara syaratnya adalah jenis dan tempoh kematian, kebenaran waris serta kesesuaian bakal penerima sama ada penerima dapat menerima organ tersebut atau tidak.
"Ahli keluarga atau waris juga memainkan peranan dalam kelulusan pendermaan organ. Walaupun kami kesan arwah itu adalah pengikrar penderma organ, kami masih memerlukan persetujuan daripada keluarga atau pendermaan tersebut tidak boleh dilaksanakan walaupun si mati telah berikrar," katanya.
Beliau menyarankan semasa masih hidup pengikrar derma organ sebaiknya memaklumkan kepada ahli keluarga niat tersebut agar tidak disalah erti kerana ramai lagi yang tidak faham khususnya orang Islam yang lazimnya mempunyai stigma terhadap isu derma organ selepas kematian.
Dr Mohd Syafiq berkata Islam melalui Majlis Fatwa Kebangsaan telah meletakkan hukum harus bagi urusan pendermaan dan pemindahan organ pada Jun 1970, selain ia diharuskan dengan syarat tidak ada alternatif lain yang boleh menyelamatkan nyawa pesakit dan bukan untuk perniagaan (tiada unsur jual beli).
Orang ramai yang ingin menjadi penderma organ boleh mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera ataupun menghubungi NTRC di talian hotline 1-800-88-9080 atau layari laman sesawang www.dermaorgan.gov.my bagi mendapatkan informasi.
-- BERNAMA
#media sosial #MySejahtera #organ #hukum harus
;