Penderitaan menyatukan semua kaum - A. Samad Said
Irwan Muhammad Zain
April 1, 2014 08:00 MYT
April 1, 2014 08:00 MYT
“Jangan terlalu banyak mengenang. Kita tak boleh hidup dalam kenangan lagi, bukan kau tak tahu. Kalau kita tak sendiri terjun ke sungai, cari sayur busuk, daging busuk atau apa saja yang boleh ditelan, sudah lama kita mati. Kau tahu, kan?”
Dialog diatas merupakan perbualan antara Mulyadi dan temannya Irwan, antara watak-watak yang ada dalam novel Sungai Mengalir Lesu karya Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said, yang diulang cetak sekali lagi selepas kali pertama dicetak dan diterbitkan 47 tahun lalu oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Ini merupakan kali keempat novel ini diulang cetak dan kali ini ia diterbitkan oleh syarikat penerbitan Wira Bukit Sdn Bhd, sebuah syarikat yang aktif menerbitkan kembali karya-karya Samad.
Novel Sungai Mengalir Lesu berlatar belakang zaman perang, zaman ketika awal Jepun menduduki Tanah Melayu dan Singapura.
Di waktu penderitaan, orang lupa dia Melayu, Cina atau India, tetapi bila senang dan disedapkan kuasa, perpecahan mula berlaku.
Istimewanya novel ini kepada Samad sendiri kerana beliau merasakan telah mengisi tanggungjawab untuk merakamkan satu zaman terdera yang pernah dilalui oleh masyarakat berbilang kaum.
"Waktu itu kita sudah berbilang kaum tetapi saya dapati waktu penderitaan itu orang lupa dia Melayu, Cina atau India.
"Penderitaan menyatukan mereka yang berbilang kaum, dalam novel Sungai Mengalir Lesu tidak timbul soal kaum kerana mereka semuanya bersatu.
"Tetapi bila sudah senang berlaku perpecahan kerana kita sudah disedapkan oleh kuasa," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Mengulas lanjut mengenai novel ini, Samad menjelaskan, jika Salina beliau menggunakan latar belakang zaman selepas perang, Sungai Mengalir Lesu pula, beliau kembali di zaman Jepun menjajah.
Beliau mengambil masa lima hingga enam bulan untuk menyiapkan novel Sungai Mengalir Lesu berbanding Salina yang disudahi dalam masa dua bulan.
"Novel ini ditulis tiga atau empat tahun selepas Salina diterbitkan, selepas novel pertama, kerana peristiwa zaman perang masih terakam dalam fikiran saya.
"Kisah itu kisah yang besar sebenarnya, ia berlaku waktu Jepun masuk hingga waktu Jepun dikalahkan, tiga tahun lapan bulan, jadi dengan harapan saya ingin mencuba novel yang pendek yang merakamkan kehidupan yang zaman jepun yang panjang," jelas beliau.
Sungai Mengalir Lesu merupakan novel pendek yang merakamkan kehidupan di zaman Jepun yang panjang.
Samad menjelaskan, berbanding Salina, Sungai Mengelir Lesu lebih pendek kerana ketika novel pertamanya diterbitkan terdapat kritikan bahawa ianya terlalu panjang, banyak diulang-ulang dan sia-sia.
Kerana itu, beliau cuba untuk menghasilkan sebuah novel pendek yang merakamkan satu peristiwa yang berlaku dalam tempoh yang panjang.
Kata Samad lagi, sebelum menulis Salina, beliau banyak membuat kajian tentang novel-novel yang dihasilkan oleh penulis-penulis Eropah pada abad ke-19.
"Penulis-penulis di Eropah pada abad ke-19, kebanyakkannya menulis novel yang panjang, yang dikatakan sia-sia itu, struktur atau teknik yang sama saya gunakan untuk novel Salina.
"Tetapi, saya ambil berat kitikan yang dilontarkan terhadap Salina, saya mengkaji novel-novel pendek seperti Old Man and The Sea, dan akhirnya saya hasilkan Sungai Mengalir Lesu," jelas beliau lagi.
Menyorot kembali pembabitannya dalam dunia sastera, Samad memberitahu, minat untuk menulis hasil dari sikap beliau yang suka membaca, minat terhadap cerita yang disampaikan ibunya dan juga guru-gurunya.
"Ia juga didirong oleh ketidakbolehan saya berhubung dengan orang lain. Saya gagap teruk jadi saya takut berhubung dengan orang lain, saya menjadi individualis, banyak habiskan masa dengan membaca.
"Menulis novel dan puisi menjadi cara saya untuk berhubung dengan orang lain," katanya lagi.
Samad kini dalam proses menerbitkan antologi 200 buah puisi yang merakamkan pengalaman beliau terlibat dalam perjuangan Bersih.
"Saya namakan buku ini Balada Bersih," katanya.
Novel Sungai Mengalir Lesu yang diulang cetak kali keempat ini akan dilancarkan secara rasmi malam ini bertempat di Dewan Perhimpunan Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor (KLSCAH).