Penderaan kanak-kanak: Promosi Talian Kasih melalui SMS MKN - Hannah Yeoh
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 31, 2021 13:15 MYT
Januari 31, 2021 13:15 MYT
KUALA LUMPUR : Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyeru agar kerajaan menggunakan segala sumber yang ada bagi mempromosikan nombor Talian Kasih.
Ini termasuk usaha melalui SMS MKN bagi meningkatkan kesedaran dan memperkasa komuniti setempat dalam melaporkan insiden penderaan kanak-kanak dan keganasan di rumah.
"Kes penderaan kanak-kanak akan terus meningkat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini kerana mereka semua berada dalam rumah yang sama.
"Untuk tingkatkan kesedaran, kerajaan perlu menggunakan segala sumber yang mereka ada termasuk platform SMS MKN dan sebarkan kepada semua rakyat berkenaan nombor Talian Kasih.
"Sekiranya jiran-jiran selalu melihat dan mendengar kanak-kanak menangis atau kemurungan terus sahaja hubungi Talian Kasih ini untuk memastikan petugas kerajaan datang memeriksa sama ada betul atau tidak didera," jelasnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.
Penderaan kanak-kanak: Tingkatkan kesedaran komuniti
Malah tegasnya, kerajaan juga perlu menambah bilangan Pelindung Kanak-Kanak di Jabatan Kebajikan Masyarkat dan diberikan latihan dari masa ke semasa.
Selain itu, menambah baik kursus pra-perkahwinan dengan mewajibkan topik keibubapaan untuk mengelakkan ibu bapa daripada mengabaikan tanggungjawab mereka.
Pada masa sama, beliau yang merupakan bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu turut menegaskan ketika ini, jiran-jiran adalah mata dan telinga kerajaan untuk melaporkan kes penderaan di sekeliling mereka.
"Paling penting ketika ini adalah untuk memberikan informasi berkaitan platform untuk melaporkan kes penderaan ini kepada jiran tetangga.
"Jiran tetangga adalah telinga dan mata kerajaan ketika ini kerana kerajaan tidak mampu untuk berada di semua tempat. Kadang-kadang mereka tidak tahu apa yang berlaku selepas mereka melaporkan kes penderaan itu.
"Jadi dengan peningkatan promosi ini, ia dapat mendidik komuniti supaya mereka sedar tanggungjawab bersama dan tidak takut untuk laporkan kes," ujarnya.
Justeru beliau menasihatkan agar mereka yang berdepan atau menyedari berkenaan masalah penderaan kanak-kanak untuk segera menghubungi Talian Kasih di 15999 dan aplikasi WhatsApp 019-2615999.
Bagi mereka yang berdepan tekanan perasaan pula, dinasihatkan mereka untuk mendapatkan kaunseling bagi mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini berlaku.
#Kanak-kanak
#PKP
#perintah kawalan pergerakan
#Penderaan Kanak-kanak
#Hannah Yeoh
#Ahli Parlimen Segambut