Penderaan: JKM, KDN, PDRM akan bincang perketat saringan calon pengasuh - Nancy
Hasimi Muhamad
Oktober 19, 2023 10:33 MYT
Oktober 19, 2023 10:33 MYT
KUALA LUMPUR: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam meneroka cadangan untuk memperketatkan dan mewajibkan saringan tapisan keselamatan terhadap calon-calon yang ingin bekerja sebagai pengasuh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia salah satu langkah dan penambahbaikan yang diambil dalam usaha mengurangkan risiko penderaan kanak-kanak ketika dalam penjagaan orang lain, terutamanya di taman asuhan kanak-kanak (Taska).
Selain itu, Nancy berkata pihaknya sedang melihat keperluan untuk pengusaha Taska dan calon pengasuh menjalani ujian psikometrik.
"Selain itu, kita akan memperkemaskan pasukan penguatkuasaan kita, dan di bawah inisiatif ini penubuhan Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak yang baru saya umumkan sebelum ini.
"Kita akan menyusun semula penempatan pegawai di setiap daerah dengan menempatkan pegawai yang akan memberi fokus untuk melaksanakan tugas, pemantauan dan tindakan penguatkuasaan khususnya untuk pusat jagaan kanak-kanak dan Taska sahaja. Ini akan dimulakan di 43 daerah yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko, dan kita akan melaksanakannya pada tahun ini juga," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) bertanya mengenai langkah yang diambil kementerian itu dalam mengurangkan kes dera kanak-kanak yang semakin meningkat di negara ini.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Santubong itu berkata, Kementerian Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) juga akan memperketatkan peraturan dan garis panduan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di Taska.
Dalam masa yang sama, beliau menambah pengusaha perlu memastikan tiada titik buta dalam liputan CCTV kecuali di tempat-tempat privasi seperti di bilik air dan persalinan pakaian.
Jelas beliau lagi, antara punca kes penderaan kanak-kanak adalah penyalahgunaan dadah, pengaruh alkohol, masalah hubungan dalam keluarga, kesihatan mental serta emosi.
"Secara amnya, kes penderaan kanak kanak boleh terjadi ketika kanak-kanak berada dalam jagaan ahli keluarga sendiri dan juga ketika kanak kanak berada dalam jagaan orang lain seperti pengasuh, sama ada di rumah, pusat jagaan mahupun Taska.
"Sementara itu, usaha untuk mengurangkan risiko penderaan kanak kanak ketika dalam penjagaan keluarga memerlukan pendekatan yang berbeza. Ini kerana KPWKM dan JKM mempunyai kawalan langsung terhadap pusat jagaan dan Taska melalui peruntukan undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.
"Manakala, penderaan di dalam komuniti ataupun keluarga sendiri meliputi pelbagai faktor yang lebih luas, melangkaui bidang kuasa dan kemampuan KPWKM dan JKM semata-mata," ujarnya lagi.
Sehubungan itu, Nancy berkata antara usaha yang telah dirancang untuk dilaksanakan adalah program kesedaran terhadap hukuman ke atas pendera kanak kanak, program memperkasakan kanak-kanak serta komuniti.