Seramai 211 pendeposit projek Plaza Rakyat akan menerima semula wang masing-masing selepas menyelesaikan urusan dengan peguam yang dilantik.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan berkata satu iklan akan dibuat pada 15 April ini dan pendeposit terbabit perlu menghubungi peguam untuk urusan tuntutan.

Katanya, pendeposit juga bebas memilih untuk memiliki lot berkenaan yang akan dimajukan semula oleh pemaju baharu.

"Kita akan beri peluang sama pendeposit mahu memiliki unit mereka atau menuntut semula wang.

"Ia akan dibuat peguam yang dilantik untuk memproses dokumen berkenaan," katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bukit Bintang (DAP), Fong Kui Lun mengenai tempoh pendeposit projek Plaza Rakyat akan menerima kembali wang masing-masing.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata Syarikat Profit Consortium Sdn Bhd telah dilantik untuk membangunkan semula Plaza Rakyat dan memeterai perjanjian jual beli dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Jelasnya, dengan pelantikan syarikat baharu itu, diharapkan isu projek yang terbengkalai tersebut dapat dipulihkan.

Projek Plaza Rakyat terbengkalai sejak 1997 disebabkan krisis ekonomi negara dan masalah kewangan yang dihadapi oleh Plaza Rakyat Sdn Bhd (PRSB).

Pada peringkat awal, Plaza Rakyat dikatakan akan menjadi bangunan kedua tertinggi di Kuala Lumpur selepas Menara Berkembar Petronas.

Mengikut pelan asal, menara tertinggi di sebelah barat plaza itu akan mempunyai 79 tingkat ruang pejabat, disambung dengan menara setinggi 20 tingkat di timur dengan menerusi blok podium setinggi enam tingkat.