Pendengaran rayuan berhubung isu kewarganegaraan dijadual semula pada 10 Dis

Bernama
Oktober 11, 2024 20:03 MYT
Menurut peguam, tarikh itu dianjak ke bulan Disember susulan penjadualan semula pendengaran kes oleh Mahkamah Persekutuan. - Foto hiasan/BERNAMA
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan telah menjadualkan semula pendengaran rayuan Persatuan Sokongan Keluarga dan Kebajikan Selangor dan Kuala Lumpur (Family Frontiers) serta enam ibu terhadap keputusan menafikan kewarganegaraan automatik kepada kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh wanita Malaysia bersuamikan warga asing.
Peguam Abraham Au memaklumkan Bernama bahawa tarikh 25 Okt yang sebelum ini ditetapkan sebagai pendengaran rayuan itu telah dikosongkan.
Beliau berkata tarikh itu dianjak ke bulan Disember susulan penjadualan semula pendengaran kes oleh Mahkamah Persekutuan.
Family Frontier dan keenam-enam ibu warga Malaysia telah memperoleh kebenaran untuk meneruskan rayuan mereka ke Mahkamah Persekutuan pada 2022.
Rayuan mereka akan didengar bersama empat lagi kes yang membabitkan isu kewarganegaraan.
Family Frontiers bersama para ibu terbabit yang bersuamikan warga asing dan mempunyai anak dilahirkan di luar negara telah memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi menuntut hak anak mereka untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia.
Mereka memfailkan saman itu terhadap Kerajaan Malaysia, Kementerian Dalam Negeri dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Pada September 2021, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada Family Frontiers dan ibu terbabit iaitu kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara berhak mendapat kewarganegaraan Malaysia namun perintah itu diketepikan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 pada 5 Ogos 2022.
Kes lain membabitkan empat individu iaitu Mahisha Sulaiha Abdul Majeed, Tan Soo Yin, Azimah Hamzah dan Mohanasengri.
Tan, yang dilahirkan di Johor, tidak mengetahui siapa ibu bapa kandungnya manakala Azimah lahir di Pahang sebelum ibu bapanya, yang juga pelarian Kemboja, mendapat kerakyatan Malaysia.
Mahisha pula dilahirkan di India oleh ibunya seorang rakyat Malaysia manakala bapanya rakyat India dan Mohanasengri, yang dilahirkan di Malaysia, mempunyai ibu warga Singapura manakala bapanya ialah warga tempatan.
-- BERNAMA
#Mahkamah Persekutuan #Family Frontiers #isu kewarganegaraan #dijadual semula
;