Pendekatan 'smart island' bangunkan Pulau Pangkor
Aida Aziz
Disember 18, 2020 11:12 MYT
Disember 18, 2020 11:12 MYT
IPOH: Kerajaan Negeri Perak akan menggunakan pendekatan 'smart island' untuk membangunkan Pulau Pangkor melalui pengurusan sumber alam yang efektif serta berkesan dalam mengawal pencemaran.
Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, ia selari dengan pengiktirafan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai bermula 1 Januari 2020.
"Kerajaan negeri mengharapkan pembangunan yang seiring dengan pertambahan kemasukan pengunjung, faktor alam semula jadi dan keindahan pulau akan sentiasa terpelihara.
"Justeru, kerajaan negeri akan menjadikan cabaran ini sebagai salah satu pendekatan untuk membangunkan Pulau Pangkor sebagai 'smart island'," katanya pada sesi penggulungan Belanjawan Negeri Perak 2021 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.
Selain itu, Saarani berkata, kerajaan negeri juga berhasrat menjadikan Pulau Pangkor sebagai pulau yang bebas dari kenderaan berasaskan petroleum dan digantikan dengan kenderaan elektrik yang menggunakan teknologi hijau.
Beliau berkata, seiring dengan pengiktirafan itu juga, fokus utama kerajaan negeri ketika ini adalah untuk membangunkan sebuah kompleks jeti yang lebih selesa bagi menampung jumlah pengunjung yang semakin bertambah.
"Sebanyak RM15 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan persekutuan untuk melaksanakan kerja-kerja awalan," ujarnya.
Pulau Pangkor, destinasi pelancongan terkemuka di Perak dan Malaysia, mencipta sejarah apabila menjadi pulau bebas cukai (PBC) berkuat kuasa 1 Januari 2020.
#Perak
#kerajaan negeri
#Saarani Mohamad
#Pulau Pangkor
#sumber alam
#pencemaran
#pengiktirafan
#pengunjung
#alam semula jadi
#smart island
#Belanjawan Perak 2021
#kenderaan berasaskan petroleum
#kenderaan elektrik
#teknologi hijau
#jeti
#pulau bebas cukai