Pendekatan seluruh ASEAN dalam pengurusan bencana - Wan Azizah
Wan Syamsul Amly
Oktober 4, 2018 18:10 MYT
Oktober 4, 2018 18:10 MYT
Pendekatan seluruh ASEAN dalam usaha dan peranan utama perkongsian menjadi penggerak utama dalam isu pengurusan risiko bencana serta pembangunan lestari.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia sekali gus kata sepakat yang diperoleh dari pertemuan Jawatankuasa Kerja Pengurusan Bencana dalam isu berkenaan.
Jelasnya, menteri-menteri ASEAN memuji inisiatif-inisiatif yang diambil oleh Jawatankuasa ASEAN mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) dengan kerjasama sektor-sektor lain untuk menangani bahaya bencana yang lebih baik.
"Ini termasuk kertas konsep tentang wanita, keamanan dan keselamatan dalam pengurusan bencana dalam pengurangan risiko bencana dan adaptasi perubahan iklim, serta menerokai kerjasama dengan badan-badan yang berkaitan mengenai tindak balas pelbagai sektor terhadap bencana berkaitan pandemik dan sokongan psiko sosial kesihatan mental dalam bencana," katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Mesyuarat ACDM ke-33 dan Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Pengurusan Bencana ke-6 di sini, hari ini.
Kata Dr Wan Azizah, Jawatankuasa Kerja Pengurusan Bencana akan memastikan rantau ini teguh dalam kemajuan inisiatif pengurusan bencana dan tindak balas dalam isu yang akan berlaku.
"Delegasi para menteri memuji pencapaian yang dicapai di semua program yang merangkumi pelaksanaan pengurusan bencana, dialog pengurusan bencana, latihan berkenaan serta pembangunan piawaian kompetensi.
"Menteri-menteri turut memuji inisiatif yang diambil dengan kerjasama sektor lain untuk menangani lebih banyak bahaya bencana.
"Ia turut bekerjasama dengan badan-badan yang berminat mengenai respons yang berkaitan dengan kesihatan mental dan sokongan psikologi dalam bencana," jelasnya.
Dengan tujuan untuk merealisasikan Deklarasi Satu Tindak Balas Satu ASEAN pada 2020, Dr Wan Azizah berkata, menteri terbabit menghargai pengumpulan maklumat serta bersetuju dengan cadangan yang diberi bahawa penglibatan ASEAN perlu diselaraskan bersama.
Katanya, langkah itu dapat meningkatkan kesedaran ASEAN dan kegiatannya dalam semangat One Response ASEAN.
Selain itu jelas Dr Wan Azizah, usaha meningkatkan latihan simulasi respons kecemasan bencana serantau ASEAN yang akan berlangsung di Indonesia pada 4 sehingga 10 November depan akan menyerupai latihan dalam senario gempa bumi dengan tsunami.
"Koordinator Bantuan Kemanusiaan ASEAN akan secara aktif bekerja dengan bantuan tahunan dan pemulihan bagi masyarakat yang terkena bencana.
"Ia termasuk inisiatif-inisiatif yang dicadangkan oleh Setiausaha Agung ASEAN untuk memastikan kelangsungan pusat bantuan bencana dan menyelaraskan operasinya dengan mandat ASEAN dalam menangani situasi kemanusiaan di lapangan," uajrnya.
Dalam perkembangan berasingan, Dr Wan Azizah berkata, kajian menyeluruh dari segi teknikal akan dijalankan secepat mungkin berhubung keperluan penggantian tiga boya yang mencerap data dan menyalurkan maklumat awal mengenai amaran tsunami.
Jelasnya, langkah itu penting kerana risiko tsunami untuk melanda Malaysja sentiasa ada memandangkan negara pernah mengalaminya pada 2004.
Sebelum ini, sebuah akhbar melaporkan Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Alui Bahari berkata, tiga boya berharga kira-kira RM9 juta yang sepatutnya mencerap data dan menyalurkan maklumat awal mengenai amaran tsunami telah dilupuskan sepenuhnya kerana tidak lagi berfungsi.
Alatan yang dipasang kontraktor utama, iaitu Astronautic Technology (M) Sdn Bhd (ATSB) terpaksa dilupuskan dengan persetujuan Kabinet ekoran beberapa faktor, khususnya aspek kos penyelenggaraan, keberkesanan dan ketahanan untuk beroperasi jangka panjang.
#ASEAN
#bencana
#gempa bumi
#kabinet
#keselamatan
#Palu
#Sulawesi
#Timbalan Perdana Menteri
#tsunami
#Wan Azizah Wan Ismail