Pendekatan 'self rule' bukan bermaksud Sarawak tidak hormati Kerajaan Pusat - Abang Johari
Shafik Ahmad
Julai 22, 2021 14:41 MYT
Julai 22, 2021 14:41 MYT
KUCHING: Amalan ‘self-rule’ yang menjadi pendekatan utama pentadbiran Kerajaan Sarawak disifatkan relevan dalam penentuan tadbir urus negeri itu terutama membuat keputusan yang mengikut acuan sendiri.
Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam perutusannya sempena Hari Sarawak 2021 berkata ia termasuk pengurusan kerajaan dalam menangani pandemik COVID-19.
Jelasnya, Sarawak melaksanakan kuasa mengikut Perlembagaan yang ada bagi membuat keputusan yang sesuai dengan keadaan di negeri itu.
“Dalam usaha kita menangani pandemik (COVID-19) yang melanda negeri pada waktu ini betapa kita menghargai kuasa yang ada pada kita mengikut perlembagaan untuk membuat keputusan yang sesuai dengan keadaan di Sarawak.
“Ia lebih praktikal dan berkesan, malah keupayaan untuk membuat keputusan sendiri demi kepentingan Sarawak mencerminkan jati diri anak Sarawak untuk menentukan masa hadapan mereka sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, sebarang keputusan yang dicapai bukan bermaksud kerajaan negeri tidak menghormati Kerajaan Persekutuan.
Sebaliknya, kata beliau ia dibuat berlandaskan sentimen rakyat Sarawak selain mengambil kira aspek sensitiviti yang lebih praktikal untuk dilaksanakan.
“Sememangnya kita menghormati Kerajaan Persekutuan termasuk setiap keputusan yang dibuat di peringkat Pusat. Bagaimanapun, tidak semua keputusan yang dibuat di Putrajaya adalah sesuai dan praktikal untuk dilaksanakan di Sarawak.
“Ini kerana Sarawak adalah sebuah wilayah yang hampir sama besar dengan tanah Semenanjung dan kadang-kala, dengan kekangan sumber dan infrastruktur, agak sukar untuk pihak berkuasa kita melaksanakan keputusan yang telah dibuat di peringkat Pusat,” jelasnya.
Sementara itu, dalam perutusan sama, Abang Johari berkata dalam perjuangan menentang COVID-19, kerajaan sarawak sentiasa meletakkan kestabilan politik sebagai tiang utama pemerintahan negeri itu.
Beliau yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, pihaknya sentiasa memastikan kebajikan rakyat dapat dijaga sebaiknya dengan suasana politik yang harmoni dan berhemah.
“Kebelakangan ini negara berhadapan dengan keadaan politik yang tidak menentu dan ia menjadi lebih meruncingkan dalam keadaan negara berdepan dengan COVID-19.
“Namun, di Sarawak suasana politik agak stabil dan saya sebagai ketua Kerajaan GPS mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat yang melibatkan diri dalam politik dengan berhemah dan menghindarkan Sarawak daripada keadaan yang kucar-kacir,” katanya.
#Hari Sarawak 2021
#Abang Johari Tun Openg
#Self rule
#acuan sendiri
#Ketua Menteri Sarawak
#COVID 19
#keputusan sendiri