Pendekatan 'quick win' langkah kerajaan tangani isu mendesak - Penganalisis
Bernama
Jun 22, 2023 04:15 MYT
Jun 22, 2023 04:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pendekatan “quick win” dalam pelaksanaan pelbagai inisiatif yang memberi manfaat segera kepada rakyat menunjukkan Kerajaan Perpaduan sentiasa memahami denyut nadi rakyat.
Pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang untuk bertemu rakyat juga membolehkan beliau dan kepimpinan negara mengenal pasti masalah dan mengumumkan bantuan yang diperlukan mereka, kata penganalisis politik, G. Manimaran.
“Kerajaan perlu terus memperkenalkan pelan tindakan segera untuk tangani kos sara hidup seperti inisiatif Payung Rahmah bagi memastikan rakyat dapat dibantu.
“Ini kerana rakyat mahu melihat pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan khususnya berkaitan isu ekonomi dan kos sara hidup. Pada pendapat saya, kerajaan hari ini perlu bekerja lebih cepat… kerana semua orang menilai dengan begitu cepat,” katanya kepada Bernama pada Khamis.
Sambil menyatakan bahawa tidak mungkin banyak pembaharuan dapat dilakukan dalam masa singkat, namun, katanya, kerajaan berusaha untuk memenuhi kehendak dan keperluan rakyat serta komuniti perniagaan dalam masa yang sama.
Manimaran berkata, jika dilihat dari sejarah kepimpinan mana-mana perdana menteri sebelum ini, tidak ada yang berjaya melaksanakan tata kelola ekonomi secara komprehensif dalam masa tujuh bulan.
“Dari sudut ini, kita melihat bahawa mana-mana kepimpinan baharu perlukan masa untuk menggubal dan melaksanakan apa yang perlu. Memang ada perkara boleh dilaksanakan segera tetapi ada perkara yang perlu dilihat secara makro dan mikro, dalam negara dan luar negara serta mengambil kira kepentingan pemegang taruh yang pelbagai belakang dan sebagainya.
“Sebagai contoh, apabila kerajaan mahu perkenalkan liabiliti korporat di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, ia hanya boleh dilakukan selepas pindaan dibuat di Parlimen dan pelaksanaannya mengambil masa dua tahun,” katanya.
Menurutnya, Anwar juga membawa pembaharuan di Parlimen dengan persidangan Dewan Rakyat baru-baru ini membahaskan Laporan Ketua Audit Negara buat pertama kalinya.
Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia, Prof Sivamurugan Pandian pula berpendapat, masih terlalu awal untuk semua pihak mengharapkan agenda perubahan drastik dilakukan perdana menteri dalam tempoh tujuh bulan.
Namun, katanya, Anwar mengambil langkah memperkenalkan beberapa inisiatif manfaat segera untuk rakyat tanpa kerenah birokrasi dalam keadaan di mana beliau perlu mengharmonikan suasana politik negara, menangani kos sara hidup, merancakkan ekonomi, memerangi rasuah dan ketirisan.
"Untuk fasa pertama pentadbiran perdana menteri, kita dapat lihat yang mahu diperbaiki adalah tata kelola serta struktur dalam institusi pentadbiran supaya mengelakkan ketirisan dan kebocoran daripada berpanjangan, yang pada masa sama meningkatkan akuantabiliti dalam kerajaan.
"Saya melihat apa yang dilakukan beliau adalah mengurangkan birokrasi supaya sistem penyampaian lebih telus, teratur dan berjalan lancar yang mungkin menjadi hambatan sebelum ini," kata Sivamurugan.
Menurutnya antara contoh langkah segera yang diumumkan kerajaan ialah Inisiatif Kemudahan Rakyat (IKR) melibatkan peruntukan RM500 juta sebagai usaha memastikan keperluan mendesak di kawasan setempat terutama yang melibatkan pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur dapat dilaksanakan.
Sivamurugan berkata, mana-mana pihak juga tidak harus menuding jari kepada perdana menteri semata-mata kerana terdapat juga faktor luaran di peringkat serantau dan global yang menjadi kekangan kepada usaha transformasi negara seperti kenaikan harga minyak dunia yang mempengaruhi mata wang serta perang di luar negara.
Menerusi Belanjawan 2023, katanya, Anwar memperlihat sifat keprihatinan bagi mendekati pelbagai kelompok masyarakat terutamanya peringkat bawahan dan pertengahan dengan tekad jelas untuk menoktahkan kemiskinan.
Konsep Rahmah yang diperkenalkan juga membolehkan setiap sektor diberikan perhatian khusus seperti sektor pemakanan, kesihatan, perumahan dan pekerjaan, selain Skim Perubatan MADANI yang menawarkan rawatan percuma kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah dan golongan B40 untuk mendapatkan rawatan kesihatan di klinik swasta.
Sementara itu, penganalisis politik, Profesor Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat, kenyataan yang mengkritik kepimpinan Anwar hanyalah pandangan peribadi segelintir pihak dan ia tidak disokong oleh data dan kajian.
"Kita nampak memang ada sambutan kepada pendekatan yang dibawa perdana menteri … (beliau) tetap memberi bantuan kepada rakyat keseluruhannya. Beliau memberi fokus untuk menyelesaikan isu mendesak antaranya miskin tegar melibatkan 130,000 ketua keluarga yang majoritinya Melayu," katanya.
Beliau juga menyifatkan naratif yang mendakwa kepimpinan Anwar tidak mendapat sokongan adalah propaganda politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri. - BERNAMA