Pendekatan mengawal kegunaan senjata api

Astro Awani
Januari 7, 2013 02:36 MYT
White House kini sedang mempertimbangkan menggunakan pendekatan yang lebih luas dalam usaha mereka mengekang keganasan senjata api di negara itu.
Akhbar Washington Post melaporkan, pendekatan yang mungkin dipakai oleh White House melebihi pengharaman senjata api dan majalah-majalah senjata berkapasiti tinggi.
Sebuah jawatankuasa kerja yang diketuai oleh Naib Presiden Amerika, Joseph Biden kini mempertimbangkan pendekatan yang akan mengkehendaki pemeriksaan latarbelakang secara universal terhadap pembeli senjata api dan memantau pergerakan jualan senjata api menerusi sebuah pangkalan data negara.
Pendekatan itu juga akan mengukuhkan lagi pemeriksaan kesihatan mental selain hukuman penalti yang lebih berat kepada mana-mana individu yang membawa senjata api berhampiran sekolah mahupun memberinya kepada golongan bawah umur.
Biden diberikan tanggungjawab tersebut ekoran insiden menembak di sebuah sekolah rendah di Newtown, Connecticut yang meragut 20 kanak-kanak dan enam orang dewasa.
Laporan itu juga menyebut, White House kini sedang merangka strategi untuk bekerjasama dengan Persatuan Rifel Kebangsaan Amerika (NRA).
Selain itu, White House turut meraih sokongan daripada beberapa pembekal senjata api dan gedung Walmart Stores Inc untuk tujuan itu.
Bagaimanapun, jurucakap White House memberitahu, Biden dan jawatankuasa kerjanya masih dalam proses memperhalusi strategi berkenaan dan belum memberikan kata putus kepada syor-syor untuk memerangi keganasan senjata api.
#joseph biden #White House