Pendekatan holistik perlu bagi reformasi pembangunan TVET
Bernama
Mei 4, 2024 07:30 MYT
Mei 4, 2024 07:30 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia memerlukan satu pendekatan holistik bagi mereformasikan pembangunan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sedia ada, kata Presiden Yayasan Mahir Malaysia Datuk P. Sri Ganes.
Beliau berkata negara memerlukan kesepaduan dan sinergi yang memberi tumpuan kepada pembangunan bakat berasaskan inovator berbanding pengguna akhir dalam Revolusi Industri 4.0.
Sri Ganes berkata syarikat komersial yang tidak berlandaskan pendidikan lebih optimis untuk membangunkan produk sendiri dan melatih bakat bersesuaian dengan keperluan masing-masing walaupun pembangunan bakat harus bersifat mampan bukannya berpaksikan pengguna.
"Syarikat-syarikat besar ini mendapat perhatian daripada kerajaan yang berpendapat bahawa mereka dapat menjana atau membangunkan bakat untuk negara sedangkan bakat seharusnya dibangunkan melalui kerjasama TVET serta syarikat kecil dan sederhana bagi memenuhi demografi kemahiran mampan.
"Sesungguhnya dalam konteks pembangunan TVET, ia adalah lebih luas daripada apa yang digambarkan. Kelestarian bakat memerlukan strategi yang komprehensif," katanya.
Beliau berkata ini kerana ia melibatkan pemahaman terhadap permasalahan teknologi, menganalisis permasalahan, mencari penyelesaian dan mewujudkan impak yang berkesan selari dengan keperluan TVET semasa.
Sri Ganes berkata demikian selepas majlis menandatangani papan tanda dan penyerahan kenderaan elektrik oleh Autotronics Center of Excellence Sdn Bhd kepada ADTEC Melaka dan penyerahan Malaysia Book of Records kepada syarikat berkenaan sebagai Pusat Penilaian Amali Pertama bagi kereta elektrik bateri negara di Melaka baru-baru ini.
Majlis itu, yang disempurnakan oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong, turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Manusia Shakib Ahmad Shakir dan Pengarah ADTEC Melaka Norhuda Salim.
Sri Ganes, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif SG Education Group, berkata kerajaan seharusnya memberi sepenuh kepercayaan kepada pengendali institusi pendidikan tinggi TVET manakala Jabatan Tenaga Manusia perlu menjadi perantara industri dan syarikat besar dalam memenuhi keperluan semasa.
"Pusat-Pusat bertauliah atau kolej TVET ini menjalankan program mengikut Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan yang dibangunkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian Sumber Manusia sebagai agensi yang bertanggungjawab menetapkan standard pekerjaan di Malaysia.
"Oleh itu, apa yang penting pada masa ini ialah kita perlu memastikan tenaga kerja tempatan yang mempunyai kemahiran mencukupi dan berkualiti tinggi bagi menarik pelabur asing dan menerajui sektor yang bakal berimpak tinggi pada masa akan datang," katanya.
-- BERNAMA