Pendekatan berhemah, waspada perlu dalam kes babitkan wartawan Bloomberg - Johan Jaaffar

Kenyataan Media
Mei 6, 2024 01:09 MYT
Tan Sri Johan Jaaffar menggesa pihak polis untuk mengambil pendekatan berhemah, penuh waspada dan penuh pemahaman dalam mengendalikan kes membabitkan seorang wartawan Bloomberg, Ram Anand. - Gambar fail/BERNAMA
Kenyataan Media Tan Sri Johan Jaaffar, Wartawan Veteran, Tokoh Wartawan Negara:
Saya menggesa pihak polis untuk mengambil pendekatan berhemah, penuh waspada dan penuh pemahaman dalam mengendalikan kes membabitkan seorang wartawan Bloomberg, Ram Anand.
Saya amat memahami sensitiviti kes yang terbabit dan kontroversi berakibat dartipada laporan berita tentang cadangan mewujukan kasino di Forest City, Johor Bahru. Semua pihak yang disebutkan dalam laporan itu telah menafikannya. Itu hak mereka untuk berbuat demikian.
Ram Anand bertanggungjawab penuh ke atas berita itu dan akauntabilitinya adalah pada beliau. Beliau tertakluk pada etika kewartawanan bagi memastikan keadilan dan kejujuran dalam mendapatkan maklmunat, melapor dan menulis berita itu. Lebih penting lagi beliau harus mengambil tanggungjawab penuh ketepatan tulisannya.
Daripada apa yang saya ketahui, Ram Anand adalah salah seorang daripada tiga orang wartawan yang mennyumbang kepada berita itu.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain pada hari Jumaat lalu memberitahu bahawa Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman akan mengambil kenyataan daripada Ram Anand. Menurut beliau kes itu akan disiasat atas hasutan, jenayah fitnah dan kesalahan membabitkan talian.
Saya sentiasa percaya bahawa memelihara kebebasan media adalah penting untuk sebuah demokrasi seperti kita. Tambahan pula media bebas adalah tunggak demokrasi yang sihat. Media memainkan peranan penting untuk tujuan semak dan imbang selain menjadi penyuluh kebenaran.
Amat malang sekali bahawa Indeks Kebebasa Media Global yang terbaru menunjukan keduduukan kita menjunam dari 73 kepada 107 tahun ini. Ini sepatutnya menjadi peringatan yang mengejutkan bagi pengamal media dan Kerajaan.
Saya betul-betul berharap bahawa kebebasan media difahami sepenuhnya oleh semua pihak dan pengamal media dibenarkan untuk membuat laporan tanpa takut dan memihak. Media punya hak dan tanggungjawab moral untuk mempersoalkan tindakan mana-mana tokoh umum. Bagaimanapun ada ruang untuk mana-mana pihak menanyakan tanggunjawab organisasi media dalam laporannya tetapi bukan melalui ugutan dan tindak balas.
Kerajaan pula tidak sepatutnya menggunakan institusi negara dan undang-undang lapuk untuk menyekat kebebasan media di negara ini. Itu adaah janji Kerajaan yang memerintah hari ini.

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Ram Anand #wartawan Bloomberg #Johan Jaaffar #berhemah
;