Pendekatan agresif polis bantu kekang penularan Daish - Pakar Kriminologi
Hafiz Marzukhi
Disember 25, 2017 19:38 MYT
Disember 25, 2017 19:38 MYT
Pendekatan agresif polis dilihat membuahkan hasil dalam usaha mengekang kegiatan Daish dan fahaman militan di Malaysia daripada merebak.
Pakar Kriminologi Datuk Akhbar Satar berpendapat, perkara itu menyukarkan kumpulan pengganas daripada terus bertapak dan menyebarkan fahaman mereka.
"Namun, saya percaya pihak polis masih lagi memantau rapat situasi ini untuk memastikan kegiatan pengganas dapat ditumpaskan sebelum ia bertapak di negara ini.
"Sebagaimana yang kita ketahui, pengaruh Daish sudah mula memasuki Malaysia sejak tahun 2013. Jika dilihat kepada keadaan sekarang, kegiatan mereka terbantut berbanding sebelumnya memandangkan pendekatan agresif pihak polis, terutamanya unit counter-terrorism dalam hal ini," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah beliau, usaha itu dikukuhkan lagi dengan kerjasama antara pihak polis dengan pakar akademik dalam bidang counter-terrorism.
Akhbar diminta mengulas mengenai penyebaran fahaman Daish di Malaysia selepas polis pada Sabtu telah mengesahkan penahanan seorang lelaki warga Malaysia di Lapangan Terbang Jinnah, Karachi, Pakistan kerana menyeludup senjata api.
Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, pihaknya sedang meneliti penglibatan suspek berusia 20 tahun dari Serian, Sarawak itu dengan Daish.