Pendedahan salah laku babit kementerian: Azam sedia bertemu Anthony Loke
Hilmi Malik
Mei 11, 2023 13:53 MYT
Mei 11, 2023 13:53 MYT
PUTRAJAYA: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sedia bertemu dengan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berhubung laporan salah laku membabitkan agensi di bawah kementerian itu.
Menurut beliau, pihaknya juga sedia untuk menjelaskan setiap laporan yang diterima secara terperinci.
"Saya akan jumpa dengan Menteri (Loke) dan akan adakan pertemuan dalam masa terdekat.
"Pertemuan ini berhubung cadangan SPRM berkaitan salah laku pegawai kerajaan sesuatu jabatan atau kementerian.
"Lebih 500 (laporan) yang saya keluarkan itu membabitkan laporan bertahun-tahun yang tidak diambil tindakan dengan serius oleh kebanyakan jabatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof di Sri Satria hari ini.
Selain itu, Azam turut memberitahu, pihaknya menerima maklum balas daripada Kementerian Pengangkutan (MoT) yang menyatakan kesediaan untuk berbincang mengenai laporan itu.
Baru-baru ini, Azam mendedahkan sebanyak 553 laporan salah laku membabitkan kakitangan kerajaan masih belum diambil tindakan sejak 12 tahun lalu.
Daripada jumlah itu, antara laporan yang tertinggi diterima adalah membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Menurut Azam, meskipun laporan telah dikemukakan kepada agensi yang terlibat, namun perkara itu kelihatan seperti tidak diendahkan.