Pendedahan Muhyiddin: Tengku Maimun tegaskan hakim tidak boleh dipengaruhi
Firdaus Azil
Januari 14, 2022 15:20 MYT
Januari 14, 2022 15:20 MYT
PUTRAJAYA: Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat menegaskan hakim-hakim tidak boleh dipengaruhi mana-mana pihak, termasuk Badan Eksekutif, ketika mereka sedang menghakimi perbicaraan.
Beliau berkata, dalam sesuatu prosiding, hakim harus mendengar hujah dan membuat keputusan berdasarkan segala bukti yang dibentangkan di mahkamah sahaja.
Tengku Maimun berkata, beliau mengambil maklum tentang pendedahan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ogos tahun lepas, bahawa ada pihak tertentu menghubungi Pengerusi Perikatan Nasional itu untuk mencampuri urusan mahkamah dalam kes berprofil tinggi.
“Memang kita dengar daripada (sidang media Muhyiddin) di TV, tapi from what I’ve heard, he was approached, but none of us (hakim-hakim) have been approached.
“Saya sendiri boleh kata, I don’t think I have been approached. Umum mengetahui hakim membuat keputusan berdasarkan keterangan dan bukti. We cannot get away dari prinsip itu. Itu prinsip teras.
“Jadi kalau sesiapa pun menghubungi kita, kalau saya kata … tapi at this point is, tidak ada sesiapa pun menghubungi saya secara peribadi. I don’t know about the rest, but I suspect also mereka tidak dihubungi mana-mana pihak untuk meminta pertolongan begitu dan begini,” tegasnya lagi.
Tengku Maimun berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ucapan Presiden Majlis Peguam AG Kalidas Krishnan sewaktu Pembukaan Tahun Perundangan 2022 di Putrajaya hari ini, tentang pendedahan Muhyiddin mengenai desakan mencampuri urusan mahkamah.
Pada Ogos lepas, Muhyiddin dalam sidang media secara langsung berkata, terdapat beberapa pihak yang cuba menangguk di air keruh, dan cuba mengambil kesempatan dengan mencetuskan kemelut politik.
Beliau yang ketika itu Perdana Menteri berkata, pihak berkenaan juga tidak senang hati apabila beliau tegas tidak melayan beberapa tuntutan mereka, termasuk mencampuri urusan mahkamah.
“Saya tahu bahawa mereka kurang senang dengan ketegasan saya untuk tidak melayan beberapa tuntutan mereka. Ini termasuk desakan supaya saya mencampuri urusan mahkamah untuk membebaskan beberapa individu yang sedang didakwa atas kesalahan jenayah.
“Saya juga telah dituduh menderhaka kepada Raja sedangkan apa yang saya lakukan adalah semata-mata untuk memelihara keluhuran Perlembagaan dan mempertahankan kemuliaan institusi Raja Berperlembagaan,” katanya Ahli Parlimen Pagoh itu lagi.