Pendedahan audio: Lebih ramai 'whistleblower' akan berani tampil beri maklumat

Nursyazwani Saiful Sham
Januari 15, 2020 22:33 MYT
Menurut Peguam, Setiausaha Politik dan Aktivis Sosial, Syahredzan Johan, ini kerana pemberi maklumat atau 'whistleblower' akan menganggap pendedahan seumpamanya tidak akan dipandang remeh. Foto: Twitter
Pendedahan rakaman audio perbualan siasatan terhadap 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu dilihat bakal menggalakkan lebih banyak pendedahan seumpamanya.
Menurut Peguam, Setiausaha Politik dan Aktivis Sosial, Syahredzan Johan, ini kerana pemberi maklumat atau 'whistleblower' akan menganggap pendedahan seumpamanya tidak akan dipandang remeh oleh pihak berkuasa.
"Kita harus menggalakkan pendedahan seperti ini, kalau tidak kita akan mengalami satu situasi di mana orang tidak mahu ke hadapan.
"Ini kerana mereka merasakan pendedahan atau laporan yang dilakukan hanya akan ditenggelamkan seperti yang biasa berlaku.
"Adakah SPRM akan terima lebih banyak maklumat? Ada kemungkinan kerana sekiranya maklumat seumpamanya diberikan kepada SPRM, ia adakan didedahkan kepada orang awam," katanya dalam program Agenda AWANI Plus yang bersiaran pada Rabu malam.
BACA: Komplot cemar reputasi, SPRM buat laporan polis
BACA: Latheefa patut letak jawatan - Azwan Bro
Mengulas lanjut mengenai pendedahan rakaman audio yang dilakukan SPRM minggu lalu, Syahredzan menegaskan ia demi kepentingan awam.
"Ini bukan pendedahan rakaman audio tentang gosip siapa tidur dengan siapa, ini adalah rakaman audio yang mencadangkan terdapat campur tangan dalam sistem keadilan jenayah pada peringkat tinggi.
"Dari dimensi kepentingan awam, ini bukanlah jenayah biasa dimana jika terdapat ahli politik boleh campur tangan dalam kes sebegini ini bermakna sistem kehakiman jenayah kita rosak," tegasnya.
BACA: Tiada masalah pendedahan audio yang dibuat SPRM - Tun Mahathir
BACA: 'Penyiaran rakaman perbualan cabul hak peribadi individu' - Ramkarpal
Pada 8 Jan, SPRM telah memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan perbualan lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.
Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu lain.
#1MDB #aktivis sosial #kepentingan awam #Latheefa Koya #peguam #rakaman audio #SPRM #Syahredzan Johan #whistleblower
;