Pendatang asing lolos: 91 berjaya diberkas, 38 masih diburu - KP Perak

Bernama
Februari 6, 2024 22:39 MYT
Mohd Yusri berkata, seramai 66 orang telah ditahan polis manakala 25 ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta 38 lagi masih bebas. - Gambar fail
IPOH: Seramai 91 daripada 131 pendatang yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, Tapah telah berjaya diberkas setakat 8 malam ini.
Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata daripada jumlah tersebut, seramai 66 orang telah ditahan polis manakala 25 ditahan pihak Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), serta 38 lagi masih bebas.
“Hari ini, seramai lapan pendatang tanpa izin etnik Rohingya telah berjaya ditangkap di kawasan Hutan Jalan Kachu, Tapah, Hab Getah Bidor serta Kampung Senta Bidor.
"Polis menyeru orang ramai terus bekerjasama bagi mengesan baki tahanan yang masih bebas," katanya dalam kenyataan.
Dalam kejadian pada 9.50 malam Khamis lepas, seramai 131 tahanan terdiri dari etnik Rohingya serta warga Myanmar dan Bangladesh, meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Bidor, dengan semua tahanan itu merusuh selain merosakkan pagar depot sebelum melarikan diri.
Bagaimanapun, dua dari tahanan yang lolos itu meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya.
-- BERNAMA
#polis #pendatang asing #pati #Depot Imigresen #Bidor #Mohd Yusri Hassan Basri
;