Pendapatan syarikat harus diagih lebih bermaruah kepada pekerja - Penganalisis

Israr Khalid
Disember 14, 2022 06:15 MYT
BARJOYAI: 60 peratus pekerja di Malaysia adalah kumpulan yang tidak berkemahiran, oleh sebab itu gaji mereka memang rendah dan ini memerangkap kita dalam jerat kelas pertengahan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Majikan di negara ini seharusnya mengagihkan hasil keuntungan syarikat dengan lebih bermaruah dan munasabah kepada para pekerjanya, tegas penganalisis ekonomi Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai.
Ketika ini, katanya, secara purata para pekerja di Malaysia hanya dikongsi 35 peratus sahaja daripada keseluruhan pendapatan syarikat, berbanding negara-negara maju dunia yang kadarnya sehingga 60 peratus.
Beliau melihat faktor itu antara punca kos sara hidup rakyat di negara ini tinggi, tatkala peningkatan harga barang yang tidak dapat dielakkan tidak diiringi dengan peningkatan pendapatan yang sepatutnya boleh dilakukan oleh para majikan.
“Jika alasannya kerana produktiviti kita rendah, maka masalah produktiviti itu harus ditangani.
“Enam puluh peratus pekerja di Malaysia adalah kumpulan yang tidak berkemahiran, jadi oleh sebab itu gaji mereka memang rendah dan ini memerangkap kita dalam jerat kelas pertengahan.
“(Solusinya) kita boleh melonjakkan mereka supaya keluar daripada kumpulan tidak berkemahiran menjadi kumpulan pekerja yang berkemahiran dan ini memerlukan pelaburan,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Beliau menganggarkan bahawa sekitar 10 juta orang pekerja memerlukan latihan “rescaling” dan “upscaling” di mana setiap seorangnya dianggar menelan kos lebih kurang RM30,000.
Bagaimanapun, jelasnya, ia memang tidak sesuai untuk dilaksanakan secara serentak, namun program boleh dibuat secara berperingkat.
Dan dalam masa lima tahun, katanya, beliau melihat para pekerja Malaysia dapat keluar dari jerat kecerdasan yang dimaksudkan.
“Harga barang memang sangat susah untuk diturunkan, namun peningkatan gaji ini boleh kita lakukan,” tambahnya.
Pendapatan syarikat harus diagih lebih bermaruah kepada pekerja - Penganalisis ekonomi
#Agenda Awani #agih keuntungan syarikat #pekerja berkemahiran #Barjoyai Bardai
;