Pendapatan isi rumah naik dua kali ganda - PM Najib

Astro Awani
Disember 2, 2017 05:15 MYT
Datuk Seri Najib menegaskan UMNO akan terus gagah memikul tanggungjawab rakyat, menjadi nakhoda membawa Melayu, Bumiputera, rakyat serta negara Malaysia, dalam pelayaran menuju lembah kejayaan. - Foto BERNAMA
Kemajuan ekonomi bumiputera menampakkan peningkatan memberangsangkan apabila pendapatan kasar bulanan isi rumah meningkat daripada RM3,624 pada tahun 2009 kepada RM6,267 tahun lalu dengan peningkatan hampir dua kali ganda.
Malah, perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejak beliau mula memegang tampuk pemerintahan negara, kadar kemiskinan bumiputera juga berjaya diturunkan daripada 5.3 peratus pada tahun 2009 kepada 0.5 peratus pada tahun lalu.
"Semenjak saya mengambil alih tampuk kepimpinan pada 2009, pelbagai inisiatif telah Kerajaan Barisan Nasional laksanakan, ada yang kita tambah baik daripada kepimpinan terdahulu, untuk terus memperkasa Agenda Bumiputera sebagai Agenda Nasional.
"Kita akan pastikan Melayu dan bumiputera terus berdaya saing, sama ada dari segi pendidikan, pekerjaan, pemilikan aset dan banyak lagi.
"Semua ini saya rangkumkan dalam Transformasi Kesejahteraan Bumiputera yang dilancarkan pada awal tahun ini, yang menyingkap segenap pencapaian dan juga aspirasi masa hadapan kita untuk Melayu dan bumiputera di Malaysia," kata beliau menerusi blog najibrazak.com.
Mesej tersebut dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO ke-71 yang akan bermula pada 5 sehingga 9 Disember ini.
Tambah beliau, perjuangan UMNO yang sentiasa berteraskan rakyat memungkin semua kejayaan itu dikecapi pada masa kini.
"Kesemua kejayaan ini adalah hasil perjuangan UMNO, atau lebih tepat lagi, hasil kesanggupan, hasil titisan darah dan keringat, hasil kesetiaan dan wala’ tidak berbelah bahagi kesemua ahli-ahli UMNO, dari setiap lapisan masyarakat, dari akar umbi ke pucuk kepimpinan.
"Kerana UMNO adalah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat, memperjuangkan nasib rakyat. UMNO adalah parti yang cintakan negaranya, yang sanggup berkorban hingga ke titisan darah terakhir demi Malaysia. UMNO adalah parti rakyat, hak dan milik ahli-ahlinya, bukan parti milik mana-mana individu," ujar beliau.
#agenda #Barisan Nasional #blog #Bumiputera #ekonomi #kerajaan #Melayu #Najib Razak #pendapatan #pendidikan #Perdana Menteri #Perhimpunan Agung UMNO #PM #rakyat #UMNO
;