Pendapatan dari RM200,000 sebulan ke RM42,000 sebulan akibat kesan COVID-19
Ridauddin Daud
Julai 12, 2020 10:00 MYT
Julai 12, 2020 10:00 MYT
COVID-19 membawa pelbagai cerita, baik suka mahupun duka namun dalam dunia perniagaan, lazimnya ia tidak dapat lari dari kisah menanggung kerugian dan hilang sebahagian besar pendapatan.
Begitu juga yang berlaku kepada Kontraktor Elektrikal dan Mekanikal, K Aaron Inbaraj yang kehilangan hampir 75 peratus pendapatan bulanannya, dari RM200,000 kepada tidak sampai RM50,000 sebulan.
Hidup di Kuala Lumpur, kota metropolitan yang acap kali menghimpit penghuninya dengan isu kos sara hidup, sudah tentu ia menghadirkan cabaran yang tidak sekali harus dipandang enteng.
Begitupun, sebaik kerajaan membenarkan pelbagai sektor kembali beroperasi, perniagaannya kembali bernafas namun kesukaran dihadapi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tekanan hebat kepadanya.
“Pada bulan Mac, apabila PKP diperkenalkan, semua perniagaan kami terhenti serta-merta. Ada perkakasan, sebab kita menyelenggara pam, semua barangan itu tidak boleh dibawa kepada pelanggan.
“Pelanggan juga tidak dapat membuat pesanan baru kepada kita. Pada saat itu, bila semuanya terhenti, memang rasa tertekan sebab kita tak boleh keluarkan invois untuk pelanggan dan pelanggan juga tidak dapat buat sebarang pembayaran,” katanya.
Tambah Aaron, cabaran paling besar buatnya adalah apabila kehilangan 40 peratus daripada sumber pendapatan selepas hotel tidak lagi menggunakan perkhidmatan mereka kerana ingin menjimatkan kos.
Jelasnya, keadaan semasa yang tidak menentu terutamanya dari aspek pembayaran melibatkan pelanggan juga menghadirkan kesukaran buatnya.
“Isu yang paling besar di mana ketidaktentuan, kita tak tahu pelanggan yang kita ada, bayaran itu ada pada mereka dan kita tidak tahu adakah bayaran itu akan dibayar dalam masa terdekat atau tidak.
“Pada masa sama, kerja yang kita dah buat separuh jalan, kita tak tahu bila kita boleh habiskan dan bila kita boleh minta bayaran daripada pelanggan, itu yang kita risau.
“Yang ketiga, staf yang kita ada, masa itu kita ada 15 staf, Adakah kita dapat kekalkan atau apa yang akan terjadi kepada mereka,” katanya yang sentiasa murah dengan senyuman hatta ketika berkongsi detik sukar sekalipun.
Meskipun badai melanda bahtera perniagannya namun disebabkan urus tadbir kewangan yang baik, ditambah bantuan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro (CBRM) menerusi Tekun Nasional (Tekun), segalanya diselesaikan dengan baik.
Bantuan RM10,000 yang diterima disalurkan sebaiknya, membayar gaji kakitangan dan yang lebih melegakan hati Aaron, tiada pekerja diberhentikan dalam tempoh sukar itu.
“Bila kami dapat dana ini, ia memberi keyakinan kepada saya, berasakan sesuatu yang baik akan berlaku.
“Jadi dana itu kita gunakan untuk aliran tunai. Daripada tunggu klien bagi kita wang, kita dapat gunakan dana ini untuk membayar gaji kakitangan dan perbelanjaan lain,” katanya.
Hakikatnya, patah sayap bertongkat paruh, patah paruh bertongkat siku, perjuangan tetap perlu diteruskan demi kelangsungan perniagaan kerana pastinya, kemanisan akan muncul jua.
#CBRM
#elektrikal
#hilang
#hotel
#kerajaan
#Kuala Lumpur
#mekanikal
#operasi
#perintah kawalan pergerakan bersyarat
#Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan
#PKP
#PKPB
#PKPP
#sektor
#Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Mikro
#TEKUN Nasional