Pendanaan iklim kurang telus halang negara membangun capai inisiatif mitigasi perubahan iklim
Bernama
Disember 6, 2023 05:00 MYT
Disember 6, 2023 05:00 MYT
KUALA LUMPUR: Mobilisasi yang lemah dan kurang ketelusan dalam pendanaan iklim (climate finance) telah menghalang negara membangun daripada mencapai inisiatif adaptif dan mitigasi perubahan iklim, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, perubahan iklim adalah masalah global yang memerlukan komitmen global untuk segera merangka pelan peralihan bagi menggunakan tenaga boleh diperbaharui, dan membantu membiayai negara yang rentan.
Menurutnya, Malaysia mengulangi kenyataan batapa pentingnya ketelusan dan mobilisasi segera berhubung dana kerosakan dan kerugian, bagi memperkasa sepenuhnya bandar-bandar dan kerajaan tempatan yang rentan, untuk berada di barisan hadapan dalam memerangi krisis iklim ini.
"Kita hanya ada satu pilihan untuk bergerak ke hadapan - perbandaran mampan dan masa depan hijau. Masanya sudah tiba, kita perlu bertindak bersama-sama untuk melindungi kehidupan kita dan menangani bencana iklim.
"Tiada masa untuk kita menyerah kalah. Kita berada dalam situasi do-or-die. Kita mesti bertindak bersama sekarang atau menghadapi kepupusan negara dan budaya yang semakin hampir," katanya.
Nga berkata demikian dalam ucapannya di mesyuarat peringkat menteri berhubung Perbandaran dan Perubahan Iklim di Persidangan Pihak-Pihak ke-28 bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC COP28) di Dubai, UAE, pada Rabu.
Teks ucapannya telah disampaikan kepada media Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia amat komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijaunya sebanyak 45 peratus menjelang 2030 dan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 melalui pelaksanaan Dasar Tenaga Negara 2040.
Katanya, dasar itu berfungsi sebagai kuasa pembaharuan, mewujudkan asas bagi peralihan tenaga yang adil dan inklusif, manakala Aspirasi Negara Karbon Rendah Malaysia yang progresif membolehkan ekonomi Malaysia mengambil manfaat daripada peralihan tenaga untuk kekal berdaya tahan dan mampan.
Nga berkata, peralihan daripada ekonomi linear kepada 'kitaran' adalah penting, dan Malaysia baru-baru ini telah menubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Nasional (NCEC) untuk mengawasi pelaksanaan dan kemajuan sektor ekonomi yang sedang pesat membangun ini.
"Ia termasuk Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional yang diperkenalkan baru-baru ini, yang direka untuk membuka laluan kearah tenaga mampan dan ekonomi hijau bernilai tinggi, memupuk pertumbuhan mampan dan penciptaan pekerjaan.
"Malaysia telah secara aktif melaksanakan inisiatif berimpak tinggi untuk mengurangkan jumlah sisa pepejal, seperti Pusat Kitar Semula Pandu Lalu, dengan orang ramai boleh menukar sampah kepada insentif berbentuk wang tunai," tambahnya. - BERNAMA