Pendakwaraya Perancis sahkan sayap ditemui di Pulau Reunion milik MH370
Bernama
September 4, 2015 08:24 MYT
September 4, 2015 08:24 MYT
Pendakwaraya Perancis mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH370.
Menurut laporan Reuters, pendakwaraya Perancis berkata seorang juruteknik dari Airbus Defense and Space (ADS-SAU) di Sepanyol yang membuat alatan untuk Boeing, mengesahkan satu daripada tiga nombor yang ditemui di serpihan sayap itu adalah nombor siri bagi MH370 Boeing 777.
"Jadi, ia boleh memberikan pengesahan bahawa serpihan yang ditemui di Pulau Reunion pada 29 Julai 2015 sepadan dengan milik MH370," kata pendakwaraya itu dalam satu kenyataan.
BACA: PERANCIS SELESAI SIASATAN FASA PERTAMA TERHADAP FLAPERON MH370 - JACC
Serpihan sayap berkenaan ditemui di pantai pulau jajahan Perancis itu pada 29 Julai lepas.
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing hilang dari radar pada 8 Mac 2014, bersama 239 penumpang dan anak kapal.
Pada 6 Ogos lepas, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan serpihan sayap yang ditemui itu adalah milik MH370.
BACA: BAGAIMANA FLAPERON BOEING 777 BOLEH TERDAMPAR DI PULAU REUNION