SEREMBAN: Golongan penceramah atau pendakwah di negara ini dinasihatkan supaya memastikan isi kandungan dakwah yang disampaikan kepada masyarakat adalah berdasarkan sumber yang tepat dan sahih berlandaskan al-Quran dan sunnah.


Ringkasan AI
  • Pendakwah diingatkan untuk memastikan kandungan dakwah berdasarkan al-Quran dan sunnah untuk mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat. Niat baik untuk menarik orang beribadah mesti disampaikan dengan maklumat yang tepat dan sahih.
  • Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Zulkifli Hasan, menyatakan pihaknya sentiasa mengadakan sesi perbincangan dan memberikan nasihat kepada guru agama dan pendakwah untuk memastikan kebenaran dalam penyampaian dakwah.
  • Program Qurban Bersama Komuniti Aidiladha dianjurkan untuk merapatkan hubungan masyarakat setempat. Aktiviti gotong-royong seperti ini penting untuk berinteraksi secara bersemuka dalam era digital.


Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan berkata ini bagi mengelakkan berlakunya kekeliruan dalam kalangan masyarakat terhadap sesuatu isu.

"Kita nampak niat mereka ini untuk menarik orang ramai untuk beribadah, namun kebaikan hanya boleh disampaikan menerusi kebenaran, bukan dengan maklumat yang tidak tepat dan palsu. Jadi saya harap pendakwah, sampaikan kebaikan dengan sumber sahih.

"Kita ingin pastikan kualiti dan penyampaian itu mestilah berpandukan kepada sesuatu yang mempunyai sumber diterima Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan disiplin ilmu itu sendiri," katanya kepada Bernama selepas menghadiri program Qurban Bersama Komuniti Aidiladha di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang pendakwah yang didakwa menggunakan hadis tanpa sumber sahih ketika mengacarakan sebuah program televisyen baru-baru ini.

Zulkifli berkata pihaknya sentiasa mengadakan pendekatan harmoni dengan mengadakan sesi perbincangan dan libat urus selain memberikan nasihat kepada golongan guru agama (asatizah) dan pendakwah berhubung sesuatu perkara.

Dalam pada itu, beliau berkata program hari ini merupakan aktiviti komuniti yang perlu diteruskan agar dapat merapatkan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat.

"Alhamdulillah, kita korban tujuh ekor lembu di sini, sangat penting kerana dalam era digital ini, kebanyakan kita menumpukan pada peranti (gadget), jadi aktiviti gotong-royong seperti ini dapat bertemu secara bersemuka," katanya.

-- BERNAMA