Pendakwah perlu belajar, bijak raikan kepelbagaian agama dan etnik - Musa
Bernama
November 6, 2017 19:14 MYT
November 6, 2017 19:14 MYT
Golongan pendakwah di negeri ini perlu belajar dan bijak meraikan kepelbagaian agama dan etnik di Sabah bagi mengelak salah faham yang menjurus kepada lahirnya golongan pelampau dan ekstremis agama seperti Daesh, kata Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman.
Beliau berkata golongan pendakwah juga perlu mengambil pendekatan sederhana ketika menjalankan aktiviti mereka, sesuai dengan ajaran mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah.
"Syiar Islam perlu disebarkan dengan penuh kasih sayang di antara sesama manusia...dengan pendekatan seperti ini, saya percaya semua lapisan masyarakat dapat menerima dengan hati terbuka serta dapat meleraikan salah faham terhadap agama Islam," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Konvokesyen Institut Pengajian Islam dan Dakwah (IPDS) Kali Ke-13 di sini hari ini.
Teks ucapan Musa disampaikan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Mohd Arifin Mohd Arif. Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Tan Sri Othman Mustapha, Mufti Kerajaan Negeri Sabah Datuk Bongsu Aziz Jaafar, Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah Ustaz Sidek Hadi, Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Masri Razali dan Pegawai Daerah Keningau Yusof Osman.
Musa berkata sebagai pendakwah mereka merupakan ejen yang dapat menyatupadukan ummah agar perpaduan, kemakmuran dan keharmonian di negara ini akan terus kekal dikecapi.
Seramai 343 graduan masing-masing menerima sijil tamat pengajian daripada institut itu.
Sementara itu, Musa berkata kejayaan yang dikecapi para graduan IPDS hari ini tidak bermakna proses mereka menuntut ilmu sudah tamat sebaliknya ia perlu terus berjalan bagi mencapai aspirasi Tranformasi Tahun 2050 (TN50).
"... Para garaduan perlu menjadikan kejayaan hari ini sebagai batu loncatan untuk terus berusaha memantapkan ilmu pengetahuan bagi memajukan diri dari semasa ke semasa kerana pendakwah yang hebat sentiasa meletakkan ilmu sebagai agenda sangat penting," katanya.
Mengenai majlis konvokesyen itu, Musa merakamkan penghargaan kepada IPDS kerana berjaya melahirkan ilmuan Islam yang berkualiti dan berharap institusi itu akan terus melahirkan lebih ramai daie dan bakal pemimpin agama pada masa hadapan.
Musa mengajak jabatan kerajaan serta syarikat swasta untuk bersama-sama membantu dan berganding bahu membangunkan IPDS yang merupakan satu-satunya institusi yang dikendalikan kerajaan negeri yang menawarkan kursus di peringkat Diploma Pengajian Dakwah di negeri itu.
Katanya, bantuan bukan sekadar untuk keperluan akademik tetapi keperluan lain seperti penyediaan bilik kuliah lebih kondusif, auditorium, bangunan perpustakaan dan sebagainya seiring dengan pembangunan daerah Keningau yang kian pesat.
-- BERNAMA
#agama
#ekstremis
#etnik
#Keningau
#kepelbagaian
#Musa Aman
#Pelampau
#pelampau agama
#pendakwah
#persefahaman
#rentas budaya