Pendakwah digalak guna media sosial untuk berdakwah

Bernama
Disember 10, 2016 09:09 MYT
ASYRAF: Pendakwah digalak menggunakan media sosial untuk berdakwah kerana ia lebih pantas dan sebarannya meluas, kata Dr Asyraf Wajdi Dusuki. - Gambar fail
Pendakwah digalak menggunakan media sosial untuk berdakwah kerana ia lebih pantas dan sebarannya meluas, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Beliau berkata cabaran masa kini memerlukan pendakwah yang mampu menguasai teknologi terkini untuk menyampaikan dakwah kepada masyarakat dengan lebih berkesan.
"Suasana terkini juga memerlukan pendakwah untuk membuat pencerahan kepada masyarakat bagaimana untuk menggunakan media sosial dengan bijak mengikut prinsip Al Quran," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Pendakwah 2016 di sini, hari ini.
Asyraf Wajdi berkata perubahan persekitaran, letusan maklumat, arus globalisasi dan lambakan gajet berteknologi, memberi lebih ruang kepada masyarakat untuk mendapat maklumat yang tidak disaring.
"Kemunculan pelbagai media baharu yang dilihat semakin hebat dan berpengaruh serta mampu membentuk pemikiran masyarakat adalah cabaran besar yang harus diterokai dan dimanfaat sepenuhnya dalam kerja-kerja dakwah," katanya.
Multaqa Pendakwah sehari anjuran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu dihadiri kira-kira 800 pendakwah termasuk imam, guru Kelas Al Quran dan Fardu Ain (Kafa) dan guru agama di negeri ini.
-- BERNAMA
#Asyraf Wajdi Dusuki #JAKIM #KAFA #Multaqa Pendakwah #pendakwah