Pendakwaan terus di mahkamah banteras penerokaan tanah haram di Pahang
Bernama
Julai 22, 2023 21:30 MYT
Julai 22, 2023 21:30 MYT
RAUB: Tindakan tegas iaitu pendakwaan terus di mahkamah antara langkah kerajaan negeri Pahang membanteras aktiviti penerokaan tanah haram di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata semua pihak yang terlibat dalam membanteras aktiviti penerokaan tanah secara haram telah diingatkan bahawa tiada lagi kompaun diberikan kepada mereka yang ditangkap melakukan kesalahan tersebut.
Pihak terlibat termasuk Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Saiful Edris Zainuddin, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Zulkifli Yaacob, Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Pahang Datuk Hamdan Hussin dan pegawai daerah.
"Saya tidak benarkan lagi kompaun kerana saya dapati tindakan kompaun tidak menakutkan mereka dan nampak seolah-olah kerajaan negeri tidak serius (membanteras kegiatan itu).
"Sebab itu, kita akan bawa mereka ke muka pengadilan, kita dakwa mereka supaya rakyat nampak apa kita buat. Bagaimanapun, kita berharap ia (aktiviti pencerobohan haram) dapat dihentikan," katanya selepas merasmikan Karnival Tanah Pahang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Wan Rosdy berkata kerajaan negeri juga tegas dalam meminimumkan pencerobohan aset negeri sama ada tanah atau aktiviti perlombongan kerana ia menyebabkan kerugian sedangkan hasilnya bukan hanya boleh dinikmati kerajaan negeri, tetapi juga dipulangkan kepada rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan.
Mereka yang berminat meneroka tanah, menurut Wan Rosdy sepatutnya mengemukakan permohonan mengikut prosedur dan kerajaan negeri amat terbuka mempertimbangkannya jika lengkap syarat yang wajib dipatuhi serta tidak melibatkan tanah seperti rizab hutan simpan, hutan tadahan air dan rizab sungai.
Sementara itu, Wan Rosdy berharap pemilik tanah di Pahang membayar cukai tanah kerana didapati kadar kesedaran untuk menunaikan kewajipan itu sangat rendah sedangkan cukai itu perlu dijelaskan sebelum 31 Mei setiap tahun.
"Kalau selepas tarikh tersebut mereka akan dikenakan denda lewat bayar dan itu sebenarnya merugikan mereka sendiri... sama ada suka atau tidak, cukai tanah perlu dibayar kerana itu tanah milik mereka.
"Bukan senang untuk mendapatkan tanah dan ia mengambil masa lama kerana prosedur yang perlu dipatuhi," katanya.
-- BERNAMA