Pendakwaan Muhyiddin satu serangan politik, persepsi salah - Fahmi
Bernama
Mac 11, 2023 00:00 MYT
Mac 11, 2023 00:00 MYT
JOHOR BAHRU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, sepatutnya mempertahankan diri di makamah dan bukan berhujah di jalanan serta khalayak umum dengan melemparkan tuduhan bahawa pendakwaan terhadap dirinya adalah bersifat serangan politik.
Pengarah Komunikasi Pakatan Harapan (PH), Fahmi Fadzil, berkata tanggapan bahawa pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri itu sebagai langkah musuh politik adalah satu persepsi yang silap kerana segala siasatan dan pertuduhan adalah mengikuti proses yang sewajarnya berlandaskan undang-undang.
"Bagi pihak kerajaan semestinya kita mengikut proses, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), juga Peguam Negara dah menyatakan bahawa mereka bersifat independent, tiada arahan daripada sesiapa, sebaliknya mereka cuma melihat kepada fakta dan membawa kes itu ke mahkamah," katanya.
Fahmi, yang juga Menteri Komunikasi dan Digital, berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas melawat pejabat Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Johor, di sini, pada Sabtu.
Semalam, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti Bersatu dan dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram RM195 juta.
Hakim Azura Alwi kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM2 juta dengan dua penjamin selain memerintahkan bekas perdana menteri itu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Ketika diminta mengulas mengenai isu melibatkan Naib Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, yang ditegur penyanyi Amir Jahari kerana menggunakan lagunya bertajuk Hasrat sebagai lagu latar untuk hantaran video melibatkan pendakwaan kes Muhyiddin, Fahmi berkata setiap pihak perlu menghormati hak pengkarya.
"Mana-mana artis ada hak atas karya mereka, wajib kita hormati, itu paling baik, dan bila minta maaf, pohonlah sebaiknya," katanya.
-- BERNAMA