Pendakwaan mohon CCTV kes lelaki Israel tidak didedahkan
Sinar Harian
September 2, 2024 12:45 MYT
September 2, 2024 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Pendakwaan memohon kepada Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, supaya pihak pembelaan tidak mendedahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), kepada pihak lain.
Ia berhubung dua kes memiliki 200 peluru dan memperdagangkan enam pistol dihadapi seorang lelaki warga Israel, Avitan Shalom, 38.
Semasa sebutan kes di hadapan Hakim, Norina Zainol Abidin, Timbalan Pendakwa Raya, Rullizah Abdul Majid berkata, semua dokumen berkaitan kes, termasuk rakaman tersebut telah diserahkan kepada pihak pembelaan.
“Kami mohon CCTV itu tidak diserahkan kepada mana-mana pihak atau umum memandangkan rakaman berkenaan telah dianalisis oleh pihak forensik,” katanya yang mengesahkan ia akan dijadikan ekshibit kes.
Bagaimanapun, peguam, Jeffrey Ooi yang mewakili lelaki yang beralamat di Bnei Brak, Israel tersebut memohon mahkamah membenarkan pihak pembelaan menyerahkan rakaman tersebut kepada spesialis.
“Hanya saksi pakar kami, harap mahkamah benarkan untuk pembelaan membuat pemerikaaan atau analisa,” katanya yang kemudiannya dibenarkan oleh mahkamah.
Dalam prosiding sama, Rullizah memohon mahkamah melapangkan tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini.
Katanya, ini kerana prosiding kes sepanjang dua minggu itu bertindih dengan kes-kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Jika dibenarkan kami berharap perbicaraan yang ditetapkan bermula 30 September ini dijadikan sebutan kes terlebih dahulu,” katanya.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd (150 peluru) dan 42 peluru dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9x19 (Nombor Siri AEGS286), Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463), Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496), Glock 17 Gen4 Austria 9x19 (Nombor Siri: BDZZ090), M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).
Kes dibuat mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara 6.46 petang, 26 Mac dan 6 petang, 28 Mac lepas. - Sinar Harian