Pendakwaan ke atas pemandu Vios akan berlangsung Isnin
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 10, 2019 19:15 MYT
Februari 10, 2019 19:15 MYT
Pemandu kereta Toyota Vios yang terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan kenderaan Utiliti Sukan (SUV) jenis Mazda CX-5 terhumban ke laut dan mengorbankan pemandunya, akan dituduh Isnin ini.
Pemandu berusia 21 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan ( APJ) 1987.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abd Hamid mengesahkan perkara itu dalam satu kenyataan pada Ahad.
Sebelum ini, pemandu Toyota Vios yang juga rakan kepada pemandu SUV Mazda itu ditahan polis selepas hadir memberi keterangan berhubung kejadian itu.
Beliau kemudian dibebaskan dengan jaminan polis sementara siasatan dijalankan.
Dalam kejadian 2.54 pagi ,20 Januari lepas, SUV dipandu Moey Yun Peng , 20, seorang penuntut kolej swasta, terhumban ke laut selepas dirempuh Toyota Vios dalam kemalangan di Kilometer 4, Jambatan Pulau Pinang menghala Perai.
Usaha untuk mengeluarkan kenderaan dan mayat Yun Pen dari dasar laut, mengambil masa lebih 24 jam.
Mayat mangsa yang masih berada di tempat duduk pemandu kenderaan dengan tali pinggang keledarnya masih terpasang, ditemukan dalam SUV yang remuk itu.