Pendakwaan Jho Low: Semua orang tertakluk kepada undang-undang - Najib

Diyana Ibrahim
November 2, 2018 21:27 MYT
NAJIB: Saya tidak mahu komen sebab itu tindakan undang-undang dan saya dah katakan bahawa semua orang tertakluk kepada undang-undang. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
Terserah kepada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk mengenakan pertuduhan kepada suspek utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Low Taek Jho atau Jho Low, kata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.
Beliau mengulangi pendiriannya bahawa tidak ada mana-mana pihak yang boleh terlepas daripada tindakan undang-undang jika mereka didapati bersalah.
“Itu tindakan DoJ, mereka berhak ambil apa-apa tindakan.
“Saya tidak mahu komen sebab itu tindakan undang-undang dan saya dah katakan bahawa semua orang tertakluk kepada undang-undang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pertuduhan terhadap ahli perniagaan Jho Low dan dua bekas jurubank dari Goldman Sachs termasuk Tim Leissner atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB.
BACA: Tim Leissner mengaku bersalah curi wang 1MDB; Roger Ng dan Jho Low didakwa
Mereka semalam didakwa di Amerika Syarikat oleh DoJ atas tuduhan konspirasi untuk mengubah wang haram dari 1MDB.
Najib sebelum ini ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) membabitkan dana RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke akaun peribadinya.
#1Malaysia Development Berhad #1MDB #DoJ #Goldman Sachs #Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat #Jho Low #Low Taek Jho #Najib Razak #Roger Ng #Tim Leissner
;