"Pendakwaan di mahkamah bertujuan jejaskan peluang saya dalam PRN" - Sanusi

Ridauddin Daud
Julai 18, 2023 11:32 MYT
Muhammad Sanusi berkata, beliau ditahan pada jam 3 pagi meskipun sebelum ini menegaskan sedia bekerjasama dan hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pagi Selasa. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
SELAYANG: Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor mendakwa pendakwaan terhadapnya bertujuan menjejaskan peluang beliau dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Menurutnya, pendakwaan terhadapnya dilakukan terlalu pantas dengan hanya tiga hari siasatan.
Bahkan, katanya beliau juga ditahan oleh polis pada jam 3 pagi meskipun sebelum ini menegaskan sedia bekerjasama dan memberi jaminan akan hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang pada pagi Selasa.
"Saya beri kerjasama penuh dari awal proses ini berjalan daripada siasatan. Ada siasatan kes lagi yang berkaitan satu ucapan di tempat lain pula.
"Nampaknya di Malaysia ini tidak boleh bercakap apa, kalau di medan politik biasanya orang akan selesai di medan politik juga.
[TERKINI] Sidang media pasca pendakwaan MB Kedah di mahkamah
"Berikan hujah balas kepada perbincangan kita tetapi oleh kerana kita ada kerajaan yang takut, dia guna polis untuk tahan atau sekat ucapan kita.
"Nampaknya ahli politik ini telah bankrap menggunakan pihak berkuasa untuk menyekat kemaraan rakyat," dakwanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai proses pendakwaan melibatkan dirinya di Mahkamah Sesyen Selayang, di sini, pada Selasa.
BACA: Sanusi ditahan polis 3 pagi
BACA: Sanusi mengaku tak salah tuduhan menghasut dalam ceramah politik
BACA: Sanusi mengaku tak salah terhadap satu lagi tuduhan menghasut
Tambah beliau, puluhan peguam menyatakan kesudian untuk membantunya dalam kes tersebut namun kesnya diketuai peguam, Datuk Shaharuddin Ali.
Jelasnya, kes tersebut akan disebut semula untuk penyerahan dokumen pada 4 Oktober dan beliau diikat jamin RM5,000 untuk setiap pertuduhan.
"Saya harap ini adalah satu petunjuk bahawa mereka sedang ketakutan dan segala agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan kehangatan rakyat.
"Saya harap PRN enam negeri dapat dimenangi oleh PN," ujarnya.
#sanusi #pendakwaan mahkamah #PRN #hina sultan
;