Pendakwaan bantah soalan tiada kaitan kes rasuah Lim Guan Eng

Bernama
Oktober 24, 2024 16:58 MYT
Pihak pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng membantah soalan yang dikemukakan pasukan pembelaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah terowong dasar laut membabitkan Lim Guan Eng membantah soalan dikemukakan pasukan pembelaan yang tidak mempunyai kaitan dengan pertuduhan dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata soalan yang dikemukakan kepada bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang juga saksi pendakwaan ke-23 itu adalah berkaitan dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Peguam Lim bertanya kepada saksi (Zarul Ahmad), adakah hubungan anda (Zarul Ahmad) dengan ahli perniagaan G Gnanaraja adalah sangat baik berdasaran perbualan menerusi WhatsApp. Tak perlulah penjelasan lebih mendalam mengenai perbualan tersebut," kata Wan Shaharuddin.
Terdahulu, peguam RSN Rayer mewakili Lim membangkitkan isu sensitif mengenai perbualan tersebut membabitkan Najib hingga menimbulkan kemarahan terhadap Zarul Ahmad kerana soalan itu tiada kena mengena dengan pertuduhan dihadapi Lim dan ia merupakan serangan peribadi terhadap saksi berkenaan.
"Soalan ini penting bagi membuktikan keakraban antara Gnanaraja dengan Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri ketika itu," kata peguam.
Dalam pada itu, Rayer menjelaskan tindakan beliau bertanyakan soalan peribadi kepada Zarul Ahmad adalah selari dengan tindakan pendakwaan sebelum ini yang mencetuskan trial by media kerana mencadangkan anak guamnya menerima habuan daripada saksi berkenaan.
Bagaimanapun, Wan Shaharuddin berkata keterangan saksi bahawa tertuduh menerima 10 peratus duit rasuah yang dikatakan trial by media itu adalah berkaitan dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Lim.
Hakim Azura Alwi kemudian membenarkan bantahan oleh pihak pendakwaan dan memerintahkan soalan itu dibuang kerana ia tidak relevan.
"Mengapa anda (peguam) membangkitkan isu trial by media kerana pertuduhan terhadap tertuduh adalah di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. Pihak pendakwaan perlu membuktikan kes tentang penerimaan (rasuah), mengapa nak bandingkan apa yang dikatakan oleh saksi tentang hal lain," katanya dan menetapkan 15 Nov ini untuk menyambung perbicaraan kes itu.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 63, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan sebanyak 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad, sebagai upah untuk membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik bagi projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.
Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta, dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.
-- BERNAMA
#pendakwaan #soalan tidak relevan #kes rasuah #Lim Guan Eng #mahkamah
;