Pendakwaan bantah rayuan isteri Daim dapatkan pasport kekal
Sinar Harian
September 10, 2024 15:00 MYT
September 10, 2024 15:00 MYT
PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan bagi kes gagal mengisytiharkan harta membabitkan Toh Puan Na'imah Abdul Khalid membantah rayuan isteri Tun Daim Zainuddin itu untuk mendapatkan pasport antarabangsanya secara kekal di Mahkamah Rayuan di sini pada Selasa.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berkata, pendakwaan selaku responden telah mengemukakan notis bantahan awal (PO) pada bulan lalu dan bersedia untuk berhujah.
Bagaimanapun, tiga panel hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim mengambil pendekatan bahawa, permohonan PO itu akan didengar pada tarikh lain.
Katanya, serentak pada tarikh itu, prosiding akan diteruskan dengan hujahan rayuan Na'imah, 67, selaku pemohon untuk mendapatkan dokumen perjalanan tersebut.
“Panel hakim akan membuat keputusan berhubung PO terlebih dahulu, jika mahkamah menolak bantahan tersebut maka kita teruskan dengan hujahan rayuan berhubung merit oleh pemohon,” katanya.
Beliau yang bersidang bersama Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Noorin Badaruddin kemudiannya menetapkan 28 November depan untuk mendengar PO dan rayuan Na’mah.
Dalam prosiding ini, peguam, Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid hadir bagi pihak Na’imah.
Pada 23 Januari lalu, Na'imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas satu pertuduhan gagal mematuhi notis Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan tidak mengisytiharkan 12 aset harta antaranya di ibu negara dan Pulau Pinang, Disember tahun lalu.
Isteri bekas ahli politik ini dibenarkan untuk diikat jamin sebanyak RM250,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Tidak berpuas hari dengan syarat tambahan, beliau membuat rayuan agar dokumen perjalanan antarabangsa itu dikembalikan secara kekal.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 Mac lalu, menolak permohonan tersebut, dengan alasan tindakan Hakim Mahkamah Sesyen adalah sah, wajar dan tiada ketidakadilan yang berlaku. - Sinar Harian