Pendakian santai di Gunung Lambak tarikan pendaki pelbagai lapisan umur

Bernama
September 23, 2024 06:45 MYT
Gunung Lambak menjadi tumpuan ramai pada musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu. - Gambar/ Bernama
KLUANG: Gunung Lambak yang terletak kira-kira tujuh kilometer (km) dari pusat bandar Kluang menawarkan pengalaman pendakian santai dan sesuai untuk pelbagai lapisan umur termasuk kanak-kanak serta warga emas.
Hanya berketinggian 510 meter dari paras laut maka tidak hairan lokasi itu menjadi tumpuan ramai pada musim cuti sekolah atau cuti hujung minggu untuk penganjuran aktiviti lasak selain mencipta kenangan bersama keluarga serta rakan.
Pemandu gunung Muhammad Nazrul Ikhram Md Nadzri, 24, berkata Gunung Lambak menawarkan dua laluan pendakian iaitu trek awam yang lebih landai menjadikannya sesuai untuk mereka yang mahu bersantai manakala trek ekstrem pula lebih curam serta mencabar.
"Kebiasaannya pendaki berpengalaman akan memilih laluan ekstrem yang mengambil masa sekitar sejam setengah untuk naik ke puncak manakala trek awam lebih mudah bagi pendaki yang ingin berjinak-jinak dalam aktiviti ini.
"Laluan yang landai di pertengahan pendakian menjadikan Gunung Lambak antara gunung yang mudah untuk ditawan termasuk kanak-kanak dan warga emas," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Bagi laluan trek awam, perjalanan bermula dari kawasan parkir melalui jalan konkrit yang mudah diakses sebelum menemui permandangan kebun bunga serta laluan sungai yang menjadi satu daripada lokasi pengambilan air bagi Istiadat Siram Tabal sempena Kemahkotaan Sultan Johor pada Mac 2015.
Perlahan-lahan laluan pendakian berubah semakin mencabar namun pemandangan panorama hutan menjadikan pendaki lebih bersemangat untuk meneruskan perjalanan ke puncak menggunakan anak tangga dan tali pemegang yang secara tidak langsung memandu arah supaya tidak tersasar dari laluan trek.
Tatkala menghampiri puncak maka bermulalah pendaki berdepan laluan mencabar, khususnya bagi mereka yang baru melakukan aktiviti itu kerana laluannya lebih curam di beberapa bahagian selain perlu berdepan akar pokok berselirat.
Semua kepayahan dan kepenatan mendaki bagaimanapun hilang sebaik sahaja tiba di puncak Gunung Lambak kerana disambut panorama indah bandar Kluang meliputi pemandangan alam semula jadi serta kawasan perindustrian yang menjadikan lokasi itu sempurna untuk bergambar.
Nizam Khalimi, 39, dari Felda Ulu Penggeli, dekat sini berkata biarpun kali pertama mendaki Gunung Lambak, laluan yang sederhana membolehkan beliau dan keluarga sampai ke puncak selepas mendaki hampir dua jam.
"Saya juga membawa anak buah dari Kuala Lumpur berumur antara tujuh hingga 17 tahun yang sedang cuti sekolah, dan bangga dengan semangat mereka untuk sampai ke puncak. Ini aktiviti santai yang saya fikir dapat mengajar mereka untuk menghargai alam semula jadi," katanya.
Warga emas Derrick Lau, 60, berkata mendaki Gunung Lambak membolehkan beliau menikmati keindahan flora dan fauna seperti buah rokam, cendawan hutan, kura-kura dan rama-rama pelbagai jenis, selain sebagai aktiviti fizikal yang dilakukannya bagi menjaga kesihatan.
Pelajar dari Selangor, Hadfina Hazirah Hazudin,12, pula teruja kerana Gunung Lambak merupakan lokasi pertamanya memulakan aktiviti pendakian, dan pengalamannya di situ membuatkan beliau lebih bersemangat untuk menawan lebih banyak gunung pada masa akan datang.
"Untuk orang yang pertama kali mendaki, laluan landai membantu saya menarik nafas sekejap sebelum melalui laluan sukar, menjadikan pengalaman ini tidak terlalu teruk dan saya juga tidak serik untuk terus mendaki. Paling seronok bila tiba ke puncak kerana pemandangannya cantik," katanya.
Daerah Kluang yang terletak lebih 100 km di utara Johor Bharu menjadi perhatian sejak minggu lepas, ekoran Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang terletak dalam daerah ini.
PRK pada 28 Sept ini melibatkan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Syed Hussien Syed Abdullah dan Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar, dan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain pada 2 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#Gunung Lambak #pendaki #PRK Mahkota #tumpuan pendaki
;