Pendaki warga Malaysia yang terkandas di Annapurna meninggal dunia

Astro Awani
Mei 2, 2019 21:56 MYT
Pada 23 April lalu Dr Chin dilaporkan hilang ketika menuruni Gunung Annapurna. - Gambar fail
Pendaki Malaysia yang ditemui selamat selepas terkandas di Nepal, berhampiran puncak Gunung Annapurna bulan lalu, dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Universiti Kebangsaan Singapura (NUH), di sini, hari ini.
Menurut TODAY, portal berita berpangkalan di Singapura, upacara penghormatan terakhir untuk mendiang Dr Chin Wui Kin, 48 tahun, dijalankan di sebuah kuil Buddha di Bukit Merah pada hari sama.
Ketika dihubungi, isterinya Thanaporn Lorchirachoonkul enggan mengulas dan memohon privasi.
BACA: Pendaki Malaysia yang terkandas di Gunung Annapurna diselamatkan
Dr Chin merupakan seorang pakar bius di Hospital Besar Ng Teng Fong di Singapura.
Pada 23 April lalu dia dilaporkan hilang ketika menuruni Gunung Annapurna.
BACA: Pendaki Malaysia terkandas di Annapurna
Selepas ditemui selamat, dia pada mulanya dirawat di sebuah hospital di Kathmandu, sebelum dibawa ke NUH.
Menurut laporan Bernama, sebuah stesen televisyen sebelum ini melaporkan doktor yang memberi rawatan awal kepadanya berkata, selain degupan jantung dan suhu badan amat rendah, Dr Chin juga mengalami hipotermia teruk dan mempunyai kesan gigitan fros di bahagian tangan dan kaki.
Posting terakhir di Facebook Dr Chin ialah pada 21 April, menceritakan mengenai pendakiannya yang kemudiannya berakhir dengan terkandas selama lebih 43 jam sebelum diselamatkan.
#Chin Wui Kin #gigitan fros #hilang #Malaysia #meninggal dunia #Nepal #pendaki #penghormatan terakhir #selamat #Singapura #terkandas
;