Pendaki warga Malaysia kini kritikal di Nepal

Afiezy Azaman
April 26, 2019 06:45 MYT
Chin Wui Kin, 48, mencapai puncak gunung tersebut dengan ketinggian 8,091 meter bersama 31 pendaki antarabangsa lain pada Selasa tetapi gagal turun ke kem bawah. - Foto REUTERS
Dr Chin Wui Kin, warga Malaysia, yang terkandas dua hari di kawasan terbuka di atas Gunung Annapurna, Nepal kini dilaporkan dalam keadaan kritikal.
Menurut Dr Sanij Singh yang merawat beliau, kadar degupan jantung dan suhu badan Dr Chin kini amat rendah ketika awal rawatannya.
Malah dalam kemas kini status di Facebook, Dr Sanij berkata Dr Chin juga mengalami hipotermia teruk dan mempunyai kesan gigitan fros di bahagian tangan dan kaki.
Dr Chin, 48, dibawa ke sebuah hospital di ibu negara Kathmandu menggunakan helikopter dengan disertai isterinya.
BACA: Pendaki Malaysia yang terkandas di Gunung Annapurna diselamatkan
Beliau sampai ke puncak gunung Banjaran Himalaya pada ketinggian 8,100 meter itu Selasa lalu, bersama 30 pendaki lain.
Namun gagal kembali ke kem terdekat yang terletak satu kilometer di bawah puncak.
#Anapurna #Banjaran Himalaya #Dr Chin Wui Kin #frost bite #Hospital #Kathmandu #Malaysia #Nepal #pendaki Malaysia
;