Pendaki wanita mati lemas terjatuh dalam sungai di Gunung Sarut
Astro Awani
April 12, 2019 18:59 MYT
April 12, 2019 18:59 MYT
Seorang wanita yang menyertai aktiviti mendaki bersama 16 rakan ditemui lemas selepas terjatuh ke dalam sungai di Gunung Sarut, Lata Payung, di sini, hari ini.
Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Setiu, Mustafa Ismail berkata, mangsa dikenali sebagai Suria Awi, 46 tahun, yang berasal dari Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
Dia dikatakan terjatuh ketika sedang berhenti rehat di kawasan terbabit kira kira jam 11.40 pagi Jumaat.
Menurut Mustafa, lapan anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 12.06 tengahari.
Pihak bomba mengambil masa lebih satu jam untuk membawa turun mayat mangsa daripada lokasi kejadian.
Mangsa diselamatkan oleh rakan-rakannya dan dibawa ke tebing sebelum operasi membawa turun mangsa disambung anggota Jabatan Bomba Dan Penyelamat.
"Kerja-kerja membawa keluar mangsa berjaya dilakukan dalam masa satu jam 15 minit. Operasi ini mengalami kesukaran kerana dipengaruhi oleh laluan yang sempit serta berbukit.
"Juga, semasa operasi tersebut, hujan lebat telah turun," kata Mustafa.
Katanya, mayat mangsa tiba di Lata Payung kira-kira jam 3.30 petang dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
#bomba
#Gunung Sarut
#Kuala Terengganu
#Lata Payung
#lemas
#mangsa
#mati
#mayat
#Mustafa Ismail
#Setiu
#Sungai
#Suria Awi
#wanita