Pendaki sesat di Gunung Gua Rimau

Bernama
September 9, 2018 06:22 MYT
Mangsa dipercayai sesat ketika menuruni gunung bersama rakan-rakannya pada kira-kira jam 5 petang. - Gambar hiasan
Seorang lelaki yang menyertai ekspedisi mendaki gunung bersama 35 rakannya, dipercayai sesat di Gunung Gua Rimau dekat Kluang, petang Sabtu.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kluang DSP Abdul Razak Abdullah Sani berkata Muhamad Nizam Ahmad Ansar dipercayai sesat ketika menuruni gunung bersama rakan-rakannya pada kira-kira jam 5 petang.
Selepas menyedari ketiadaan mangsa yang berusia 29 tahun itu, salah seorang rakannya kemudian membuat laporan mengenai kehilangannya itu pada jam 3.20 petang Ahad di Balai Polis Kampung Gajah.
"Susulan laporan itu, kami menubuhkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan anggota polis serta bomba dan penyelamat bagi meninjau kawasan berkenaan.
"Kita akan lakukan tinjauan terlebih dahulu berdasarkan faktor cuaca dan keadaan sudah lewat petang.
"Ini memandangkan untuk ke kaki gunung perlu melalui jalan sepanjang 12 kilometer yang hanya boleh menggunakan pacuan empat roda," katanya ketika dihubungi Bernama, di sini, petang Ahad.
Abdul Razak berkata operasi SAR secara intensif hanya akan dapat dilakukan bermula awal pagi ini.
"Hasil siasatan awal mendapati kesemua 36 pendaki bersama empat malim itu mula mendaki puncak gunung pada awal pagi Sabtu.
"Pada 2 petang mereka bergerak menuruni gunung berkenaan namun pada jam 5 petang, mereka sedar mangsa tiada bersama," katanya.
Katanya, pencarian juga dilakukan terlebih dahulu oleh rakan mangsa bersama malim, namun menemui jalan buntu sebelum membuat laporan polis.
-- BERNAMA
#Abdul Razak Abdullah Sani #gunung gua rimau #Kluang #muhamad nizam ahmad ansar #PDRM #pendaki #polis #SAR #sesat
;