Pendaki maut ketika turun dari Gunung Kinabalu
Bernama
Januari 7, 2018 04:05 MYT
Januari 7, 2018 04:05 MYT
Seorang pendaki Gunung Kinabalu meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri ketika turun dari puncak gunung itu pada Ahad.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata mangsa, Nazri Omar, 48, dari Bandar Baru Bangi, Selangor dilaporkan terpisah dan hilang daripada kumpulannya ketika menuruni gunung itu pada kira-kira jam 1.15 tengah hari.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) melibatkan Pasukan Bomba Bantuan SAR di Gunung (MOSAR), kakitangan Taman-Taman Sabah dan malim gunung digerakkan di sekitar Kilometer 8 laluan menuruni gunung tersebut di mana mangsa dilaporkan hilang.
Menurut kenyataan jabatan itu, mangsa kemudiannya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh seorang malim gunung sebelum dibawa turun oleh pasukan MOSAR menggunakan usungan.
"Mangsa sampai di Timpohon Gate (tempat memulakan pendakian) pukul 5.40 petang dan seterusnya, diserahkan kepada pihak ambulans di mana doktor perubatan sahkan mangsa meninggal dunia," menurut kenyataan itu.
Jabatan itu berkata mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
-- BERNAMA