Pendaki maut jatuh gaung di Hutan Simpan Bukit Kledang

Amirrul Rabbani
September 26, 2022 22:41 MYT
Mangsa telah disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital. - Gambar/ JBPM
IPOH: Seorang lelaki maut selepas terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki bukit di Hutan Simpan Bukit Kledang, di sini pada Isnin.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak berkata, mangsa dikenali sebagai Shahrom Ahmad Salaludin, 40, sebelum itu dipercayai mendaki bukit berkenaan bersama rakannya.
Beliau berkata, pihaknya telah menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian itu pada jam 6.09 petang.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Puteh dihantar ke lokasi dan mendapati mangsa tidak sedarkan diri.
“Mangsa telah jatuh ketika berada dalam jarak 400 meter dari kaki bukit. Mangsa telah disahkan maut oleh pegawai perubatan hospital,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Ujarnya, pasukan bomba telah membawa mangsa turun ke kaki bukit sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Balbir Singh Chandan Singh itu tamat pada jam 8.30 malam.
#pendaki maut #jatuh gaung #Hutan Simpan Bukit Kledang #kaki bukit
;