Pendaki jumpa bom zaman Jepun di Gunung Kerunai
Nazialita Geynna Maharan
Mac 4, 2018 20:37 MYT
Mac 4, 2018 20:37 MYT
Perjalanan sekumpulan pendaki ketika menuruni Gunung Kerunai dikejutkan dengan penemuan sebuah bom dipercayai dari zaman Jepun dalam insiden pada Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa ketika dihubungi mengesahkan penemuan bom lama berkenaan.
Menurutnya, bahan letupan itu ditemukan ketika salah seorang dari mereka ternampak sebuah objek menyerupai sebutir bom.
Menurutnya, kumpulan pendaki seramai 15 orang yang bimbang dengan penemuan itu segera memaklumkan kepada orang kampung dan membuat laporan polis sebaik sahaja tiba di kaki gunung.
“Soal siasat lanjut bersama kumpulan pendaki tersebut mendapati mereka merupakan pendaki dari Kelantan Hiking Crew yang mula mendaki Gunung Kerunai pada 2 Mac lepas.
“Bagaimanapun, tiada antara mereka yang menemukan bom tersebut namun semasa turun salah seorang daripada mereka ternampak objek itu dalam tanah.
“Bom itu tertanam di dalam tanah di tengah-tengah trek pendakian. Selepas disiasat, ia merupakan bom lama dipercayai dari zaman penjajahan Jepun,” katanya ketika Astro AWANI pada petang Ahad.
Ismail berkata, operasi memusnahkan bom tersebut dijalankan pada tengah hari tadi (Ahad) dengan bantuan Unit Pemusnah Bom dari Ibu Pejabat dan Kontinjen (IPK) Perak.
“Selepas mendapat aduan, anggota polis mendaki gunung itu dan menjalankan operasi meletupkan bom pada jam 12.30tengah hari,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, kisah penemuan bom tersebut menggemparkan penduduk setempat kerana Gunung Kerunai merupakan antara gunung popular di kalangan pendaki khususnya di kawasan Utara Malaysia.
Difahamkan, laluan masuk ke gunung tersebut ditutup buat sementara sehingga operasi meletupkan bom itu selesai.