Pendaki Gunung Tahan hilang ditemui lemas di Sungai Tanum

Azee Shafy
Januari 23, 2023 16:36 MYT
Mayat Haniff Harun, 47, dijumpai pada pukul 11.20 pagi. - Gambar/ PDRM
LIPIS: Pendaki Gunung Tahan yang dikhuatiri lemas dihanyutkan arus ketika melintasi Sungai Tanum di sini, semalam, berjaya ditemukan pasukan penyelamat kira-kira 300 meter dari lokasi mangsa dilapor hilang, hari ini.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, mayat Haniff Harun, 47, yang berasal dari Kampung Palih Haji Daud Kuala Terengganu dijumpai pada pukul 11.20 pagi.
"Mayat mangsa telah dijumpai tersangkut di dalam sungai kira-kira 300 meter jarak dari lokasi mangsa jatuh, dan disahkan meninggal dunia.
"Mayat dibawa ke Hospital Kuala Lipis bagi tujuan bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, mangsa bersama sembilan pendaki lain menyeberang sungai itu ketika dalam perjalanan turun dari Gunung Tahan sebelum dipercayai terjatuh dan dihanyutkan arus.
Mereka mendaki melalui pintu masuk di Merapoh, Lipis pada Jumaat lalu dan dijangka turun pada Selasa ini.
Namun, berikutan hujan lebat, kumpulan pendaki itu mengambil keputusan berpatah balik dan turun melalui laluan Kuala Juram.
Kumpulan pendaki ini telah dipandu arah oleh seorang malim gunung dan seorang porter.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari kedua hari ini, membabitkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Moscar), polis, bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Perhilitan.
Azli memberitahu, pasukan SAR telah dipecahkan kepada tiga kumpulan, yang mana, setiap pasukan ditugaskan mencari di tiga lokasi berbeza.
"Pasukan pertama mencari di sekitar sepanjang Sungai Tanum dari tempat mangsa mula-mula hanyut di sepanjang tebing sungai.
"Manakala pasukan kedua mencari dari Kuala Juram hingga ke hilir sungai dan, pasukan ketiga pula menyusuri sungai menggunakan bot dan Skanu," jelasnya lagi.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1 tengah hari.
#pendaki gunung #Gunung Tahan #kes lemas #Sungai Tanum
;